UMNO, Pas akan harungi banyak cabaran: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bersama kepimpinan UMNO dan Pas serta rakan komponen BN di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar hari ini.
A
A

SUNGAI BESAR - UMNO dan Pas akan mengalami banyak cabaran ketika melakukan kerjasama dalam usaha untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehubungan itu berkata, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu ketepikan sebarang perbezaan pendapat dan pandangan masing-masing terhadap usaha penyatuan kedua-dua parti itu.

Beliau berkata, penyatuan itu memerlukan iltizam dan komitmen semua ahli parti itu bagi memastikan gabungan UMNO dan Pas serta rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain mampu merampas negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) termasuk Putrajaya pada PRU15.

"Kita telah bertunang dengan Pas. Sifat orang bertunang ini banyak ujian dan darah juga manis.

"Oleh sebab itu, UMNO dan Pas harus menjaga antara satu sama lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu bermuhasabah agar kerjasama dan penyatuan politik yang dijalin antara UMNO dan Pas nanti memberikan kebaikan kedua-kedua pihak.

"Alangkah baiknya kalau rumahtangga UMNO dan Pas ini aman damai. Tidak berbeza pendapat dan kalau berbeza sekali pun, cepat-cepat cari jalan penyelesaian," katanya.

Malah, tegas beliau, UMNO meraikan perbezaan pendapat namun tidak mahu melihat wujudnya puak-puak dalam kalangan pemimpin dan ahli parti itu.

"Kita perlu perkukuhkan ukhuwah bukan hanya antara kita pemimpin dan ahli UMNO sebaliknya meningkatkan kerjasama bersama Pas dan rakan-rakan komponen BN yang lain," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia