ERC adakan enam sesi libat urus sepanjang Ogos

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) akan mengadakan enam sesi libat urus di luar Lembah Klang pada bulan ini bagi mendapatkan pandangan orang ramai berhubung cadangan penambahbaikkan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, sesi libat urus akan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos; Ipoh, Perak (15 Ogos); Kangar, Perlis (19 Ogos) dan Alor Setar, Kedah (20 Ogos).

Dua lagi sesi akan diadakan di Sarawak iaitu di Miri pada 26 Ogos dan disusuli di Kuching 28 Ogos.

"Sesi libat urus ini adalah untuk mendapatkan pandangan orang ramai berhubung cadangan pembaikan sistem dan undang-undang pilihan raya dan penyertaan orang ramai adalah amat digalakkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Rashid berkata, sesi-sesi itu susulan kepada beberapa sesi yang diadakan sejak awal tahun ini iaitu di Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mereka yang berhasrat untuk menyertai sesi libat urus boleh menghubungi Penolong Ketua Eksekutif ERC, Khairul Anwar Ahmad Nadzer di talian 03-88866365 atau e-mel anwar@jk.jpm.gov.my.

Abdul Rashid berkata, ERC juga bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan idea dan cadangan dalam memantapkan sistem demokrasi negara.

ERC yang ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos tahun lepas, telah menggariskan 15 agenda reformasi dalam kajiannya berhubung penambahbaikkan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk kajian mengenai proses dan mekanisme bagi pemilih berdaftar Malaysia yang berada di luar negara.

"Menerusi sesi libat urus yang telah dijalankan, pelbagai masalah dapat dikenal pasti dalam isu pengundi luar negara ini antaranya kertas undi pos yang lewat sampai, kos penghantaran kertas undi pos ke Malaysia dan status permohonan undi pos bagi pengundi berkenaan," katanya. - Bernama