Mana lagi pemimpin Umno nak keluar parti, silakan… - Jamal

Jamal pada Program Jualan Ikan pada harga patut, di sini.
Jamal pada Program Jualan Ikan pada harga patut, di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pemimpin Umno yang ingin keluar daripada Umno dialu-alukan berbuat demikian bagi menghormati proses demokrasi di negara ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Umno yang ditubuhkan bukan untuk mereka mendapatkan kekayaan, sebaliknya sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Mana-mana pemimpin yang rasa tak boleh cari makan, silalah tinggalkan perjuangan Umno.

"Nak menyeberang biarlah... tak ada masalah pun, malah kita alu-alukan sesiapa sahaja yang nak pergi," katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, tindakan beberapa pemimpin keluar Umno dan melompat parti tidak memberi kesan kepada parti itu.

"Sebaliknya, mereka (bekas pemimpin Umno) pula disisihkan dan berasa terasing bila melompat ke parti lain," katanya.

Jamal berkata, hanya pemimpin yang benar-benar bersih yang masih kekal setia bersama Umno.

Katanya, pemimpin yang keluar daripada parti itu mungkin mempunyai sebab tersendiri melakukan tindakan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada perkara salah laku sebelum ini yang mereka lakukan, mungkinlah mereka sedang berunding untuk menyeberang ke sebelah sana," katanya.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen Umno keluar parti iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.