Kes jenayah komersial Selangor catat kerugian RM480 juta

Fazlisyam (tengah) pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
Fazlisyam (tengah) pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes jenayah komersial di Selangor bagi tempoh enam bulan bermula Januari lalu mencatatkan 2,517 kes dengan nilai kerugian hampir RM480 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya berjaya menahan seramai 1,874 orang.

"Berdasarkan pecahan, kes penipuan mencatatkan jumlah paling banyak dengan 2,062 kes diikuti pecah amanah (239), Akta Pemberian Pinjaman Wang (80), wang palsu (63) dan kes pemalsuan (33).

"Turut direkodkan ialah kes jenayah siber (26), video cakera digital ( DVD) cetak rompak (4) dan selebihnya lain-lain kes," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes dicatatkan itu, pihaknya berjaya mencatatkan 11 peratus pertuduhan di mahkamah dan usaha ke arah mempertingkatkan pertuduhan giat dilakukan.

Mengulas lanjut, beliau turut menyenaraikan empat kes penipuan utama yang menjadi ancaman kepada masyarakat iaitu Macau Scam, pinjaman tak wujud (PTW), African Scam dan e-Commerce.

Katanya, bermula Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,121 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian mencecah RM38 juta dan 697 tangkapan.

"Modus operandi mereka adalah menggunakan keldai akaun untuk mendapatkan wang daripada mana-mana mangsa. Kita akan ambil tindakan tegas kepada keldai akaun sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik akaun terbabit dikesan menjual akaun mereka atau menyerahkan akaun kepada orang lain. Tanpa disedari akaun mereka digunakan sindiket untuk menipu. Mereka ini akan disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan," katanya.