Kebebasan bersuara perlu dikawal

Ahmad Kassim dua kanan, Keng Chuan tiga kanan bergambar ketika gimik perasmian dalam majlis hari ini.
Ahmad Kassim dua kanan, Keng Chuan tiga kanan bergambar ketika gimik perasmian dalam majlis hari ini.
A
A
A

KULIM- Kebebasan bersuara masyarakat dan media tanpa kawalan mampu memberikan kesan buruk kepada pentadbiran negara.

Speaker Dewan Undangan Kedah, Datuk Ahmad Kassim berkata, cukup membimbangkan apabila masyarakat belum terdidik untuk memberikan pandangan serta kritikan melalui media.

"Mengkritik akan memberikan kesan dan impak kepada kehidupan masyarakat sosial. Saya bimbang inilah perkara yang kita janjikan dahulu iaitu kebebasan bersuara, kebebasan media.

"Tetapi apabila kebebasan itu diberi dengan seluas-luasnya tanpa kawalan, ia akan memberikan kesan cukup tidak baik kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Antarabangsa-Peranan Etika Keluarga di Zaman Globalisasi di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeo Keng Chuan.

Justeru katanya, beliau telah menyampaikan pandangan kepada kepimpinan utama supaya kerajaan 'sedikit' mengawal kebebasan maklumat.

Menurutnya, kawalan itu bagaimanapun tidak sampai ke tahap mengekang kebebasan bersuara seperti mana dilakukan kerajaan terdahulu melalui akta-akta dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengharapkan ada sedikit keseimbangan. Rakyat dibenarkan memberikan pandangan dan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan.

"Tetapi jangan dengan kritikan itu sehingga merosakkan masyarakat dan negara. Apatah lagi sekiranya ia memberikan kerosakan kepada sistem ekonomi," katanya.

Ahmad berkata, di bawah kerajaan baharu beberapa dasar penting antaranya Dasar Keluarga Negara terus dikekalkan.

"Dasar ini satu polisi yang kita wujudkan untuk menghadapi kepelbagaian kehidupan masyarakat kita dalam institusi keluarga," katanya.