Pas persoal pelaksanaan program air percuma

Dr Ahmad Yunus Hairi
Dr Ahmad Yunus Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor mempersoalkan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pemberian 25 meter padu air percuma seperti diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2019.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pada peringkat awal, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan akan melaksanakan bantuan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) itu pada suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun katanya, program berkenaan masih belum dilaksanakan meskipun sudah memasuki suku ketiga tahun ini.

“Selain isu gangguan bekalan air di Selangor yang tidak pernah selesai, kerajaan negeri ternyata gagal melunaskan janjinya untuk beri air percuma kepada golongan sasaran. Mengapa program ini masih belum dijalankan?

“Hal ini menunjukkan kelemahan kerajaan negeri untuk mengutamakan kepentingan rakyat khususnya golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, program berkenaan mula dilaksanakan di Selangor sejak tahun 2008 dan faedah tersebut diberi tanpa mengira taraf ekonomi, latar belakang agama, kaum dan fahaman politik.

Katanya, program subsidi tersebut diselaraskan melalui pelaksanaan terhadap golongan B40 yang berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, seramai 1.6 juta pemegang akaun layak untuk diberikan bantuan sehingga Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, tidak sukar kerajaan negeri laksanakan inisiatif tersebut dengan cepat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pas Selangor mendesak subsidi disegerakan dan mahu semua pihak fokus kepada agenda kebajikan rakyat melangkaui isu pertikaian dalaman parti.

Terdahulu, media melaporkan pemberian air percuma di Selangor akan ditambah daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan.

Amirudin sebelum ini dipetik berkata, pelaksanaan pemberian air percuma kepada golongan sasar itu akan dibuat secara berperingkat memandangkan pihaknya perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak.