Tenggiri 10kg tewas di tangan Abdul Hadi

Tenggiri dalam anggaran seberat 10kg yang berjaya ditangkap Abdul Hadi selepas aktiviti membuang unjang selesai.
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik perhatian apabila berkongsi gambar Amazing Terengganu ketika menyertai aktiviti membuang unjang di perairan Pulau Kekabu hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Abdul Hadi menyertai aktiviti tersebut sebagai tanda sokongan terhadap program "Terengganu Tenggiri Challenge" bakal diadakan 20-21 September ini.

"Hari ini saya menyertai program buang unjang bagi program "Terengganu Tenggiri Challenge" untuk menarik banyak ikan di Pulau Kekabu, Marang.

"Semoga program ini dapat menarik minat ramai pemancing dan pelancong untuk datang ke Terengganu," katanya yang turut berkongsi aktiviti sama di Twitter rasminya.

Ahli Parlimen Marang itu juga tidak melepaskan peluang memancing selepas aktiviti membuang unjang selesai dan berjaya menaikkan seekor tenggiri dalam anggaran berat mencecah 10kg.

Video beliau menewaskan tenggiri yang bakal menjadi buruan kaki pancing sempena Terengganu Tenggiri Challenge 2019 itu boleh dilihat menerusi profil cerita dimuat naik di laman Facebooknya.