12 syarikat di NS didakwa bawah Akta JKKP

Arul (tengah) berbual dengan peserta yang terlibat dengan program OSH Compliance Support-OSH Coordinator peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban semalam.
Arul (tengah) berbual dengan peserta yang terlibat dengan program OSH Compliance Support-OSH Coordinator peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 12 syarikat di negeri ini didakwa di mahkamah bagi tempoh Januari sehingga Julai lalu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan, Izani Mohd Zain berkata, pihaknya juga turut mengeluarkan 65 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM65,000, namun hanya RM40,500 yang berjaya dikutip.

"Pada tahun 2018, sebanyak lapan syarikat didakwa di mahkamah manakala 57 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kutipan RM106,000. Berlaku peningkatan jumlah syarikat yang didakwa disebabkan kekerapan penguatkuasaan yang dilakukan.

“Penguatkuasaan akan terus dilakukan demi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja lebih terjamin,” katanya selepas Penutupan OSH Compliance Support-OSH Coordinator Negeri Sembilan di sebuah resort di sini semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar.

Arul menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta yang mengikuti program 'OSH Compliance Support-OSH Coordinator' peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban dekat sini, hari ini.
Arul menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta yang mengikuti program 'OSH Compliance Support-OSH Coordinator' peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izani berkata, rekod kemalangan di tempat kerja sehingga Julai lalu adalah sebanyak 261 kes melibatkan kecederaan tidak hilang upaya kekal (252), maut (5), hilang upaya kekal (2) dan kejadian berbahaya dua kes.

Manakala bagi rekod penyakit pekerjaan yang dilaporkan berlaku sehingga Julai lalu berjumlah 288 kes dengan sektor pengilangan menyumbang kepada 269 kes, kemudahan perkhidmatan kebersihan, air dan elektrik (15), perkhidmatan awam (2) dan perkhidmatan perniagaan, kewangan, insurans dan hartanah masing-masing dua kes.

Artikel Berkaitan:

“Antara penyakit pekerjaan yang paling tinggi dihidapi pekerja di tempat kerja adalah masalah pendengaran, yang membabitkan bunyi bising yang terlampau, diikuti penyakit kekejangan otot, dada dan penyakit kulit.

“Oleh sebab itu JKKP mengadakan bengkel ini bagi membantu majikan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,khususnya kepada majikan bagi industri kecil dan sederhana,” katanya.