Pekerja resort hilang: Pencarian 10 batu nautika dari Pulau Tenggol

Bot pelancong yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sebelum disedari hilang di perairan Pulau Tenggol kira-kira jam 3 petang semalam. (Gambar kecil: Dari kiri: Fauzi, Mohamad Hafiz dan Mohammad Firdaus.)
Bot pelancong yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sebelum disedari hilang di perairan Pulau Tenggol kira-kira jam 3 petang semalam. (Gambar kecil: Dari kiri: Fauzi, Mohamad Hafiz dan Mohammad Firdaus.)
A
A
A

DUNGUN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol di sini semalam, melibatkan radius kawasan pencarian 10 batu nautika dari pulau tersebut hari ini.

Ketiga-tiga mangsa, Fauzi Mohammad, 40; Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, yang bekerja di Pulau Tenggol Resort hilang ketika dalam perjalanan menghantar bekalan air minuman dan tong gas memasak ke resort itu.

Kehilangan mereka disedari kira-kira jam 3 petang semalam apabila tidak tiba di resort itu selepas belepas menaiki bot pelancong di Jeti A'king di Kuala Dungun lebih kurang jam 11.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, operasi SAR dimulakan pada jam 8 pagi hari ini melibatkan kekuatan lebih 32 anggota Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu dibantu kakitangan resort terbabit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang]

"SAR dijalankan dengan kekuatan aset lapan kapal dan bot membabitkan Kapal Maritim (KM) Pekan, Bot Maritim (BM) Kilat 2 dan dua bot ronda Pasukan Polis Marin.

"Operasi turut dibantu empat bot milik pengusaha resort yang digerakkan seramai 12 kakitangan resort tersebut," katanya.

Katanya, pencarian turut dilakukan JBPM di sekitar pesisir pantai termasuk muara Kuala Dungun sehingga ke Pantai Sura Hujung.

Artikel Berkaitan:

Polis menerima laporan awal berhubung kejadian kira-kira jam 3.15 petang semalam selepas dihubungi Pusat Kawalan Radio (RC) Melaka.

Fauzi dan Mohamad Hafiz berasal dari Kuala Abang, Dungun manakala Mohammad Firdaus beralamat di Simpang Renggam, Johor.