Harap menteri boleh tidur lena di Cordova: MP Kuala Nerus

Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warkah Cordova oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar terus menjadi bahan sindiran pemimpin pembangkang.

Lebih-lebih lagi melibatkan frasa beliau tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan Nurul Izzah yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ketika ini rakyat yang belum tidur lena kerana janji pilihan raya yang belum dilaksanakan.

“Warkah Cordova oleh menteri, apa budaya baru Malaysia Baharu yang mahu dididik kepada anak bangsa? Harap menteri boleh tidur lena di Cordova. Kalau belum lena juga bolehlah mengambil pil tidur.

“Apa yang pasti, rakyat masih belum lena tidurnya kerana banyak janji pilihanraya belum terlaksana. Cukai jualan dan perkhidmatan (SST), harga minyak, kejatuhan mata wang, kesuraman pelaburan dan elaun nelayan dan warga penoreh semuanya tidak melenakan rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Semalam, Mujahid yang dalam perjalanan dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah di Facebook miliknya.

Dalam warkah 25 perenggan itu, Mujahid membahasakan dirinya sebagai kekanda, manakala memanggil Nurul Izzah sebagai adinda.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang menyindir kandungan warkah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Najib menyindir Mujahid yang dikatakan tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan Nurul Izzah, susulan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.