Tsunami Selat Sunda diramal sejak 2012: Pakar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian tsunami di Selat Sunda yang berlaku Sabtu lalu sebenarnya sudah diramal sejak 2012 oleh sekumpulan saintis Perancis dan Indonesia.

Memetik laporan Astro Awani, Dr Khamarrul Azahari Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kajian saintifik itu telah meramal sebarang gelonsoran yang berlaku di bahagian barat daya Gunung Anak Karakatau akan mewujudkan gelombang setinggi 43 meter.

"Jika kita amati, pakar dan saintis telah membuat penilaian awal di kawasan Selat Sunda dan sudah menjangka tsunami boleh berlaku," katanya.

Memetik artikel yang diterbitkan di Geological Society London itu, pakar mendapati ombak tinggi itu boleh melanda pulau-pulau di Sertung, Panjang dan Rakata dalam masa kurang seminit.

Gelombang ini seterusnya boleh membawa kemusnahan ke bandar Merak, Anyer dan Carita yang terletak di Jawa Barat dalam masa 45 minit.

"Namun saya tidak pasti sama ada kerajaan atau pihak berwajib di Indonesia mengambil maklum atau tidak mengenai hasil kajian tersebut," ujarya.

Dalam pada itu, Dr Khamarrul juga tidak menolak risiko bencana seperti di Selat Sunda boleh berlaku di Malaysia.

"Kemungkinan tsunami bawah tanah boleh berlaku di pesisir pantai barat Sabah tetapi itu memerlukan satu kajian saintifik di peringkat serantau termasuk dengan kolaborasi daripada saintis luar negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tsunami melanda Selat Sunda malam Sabtu lalu ekoran runtuhan rekahan gunung berapi Anak Krakatau.

Sehingga kini, lebih 400 nyawa telah dilaporkan terkorban dan ribuan masih hilang.

Misi pencarian dibahagi kepada empat sektor iaitu dari Wilayah Cinangka hingga Carita, Wilayah Labuhan hingga Tanjung Lesung, Eilayah Tanjung Lesung hingga Sumur dan dari Wilayah Pulau Oar ke Pulau Badul.