Wang persaraan lesap RM179,890

Anbalagan
Anbalagan
A
A
A

BALIK PULAU- Seorang pesara kerajaan kerugian RM179,890 selepas diperdaya Macau Scam dalam kejadian di Bayan Baru di sini pada 17 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, wanita berusia 69 tahun itu yang merupakan bekas kerani dikatakan mengeluarkan wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan memasukkan wang terbabit ke dalam akaun yang diberikan sindiket terbabit.

Menurutnya, sebelum itu mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur dan memaklumkan dia terlibat dengan kegiatan judi haram online di Kuala Lumpur.

"Lelaki berkenaan kemudian meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberi dan memberitahu sekiranya dia tidak memindahkan wang dalam akaun terbabit Bank Negara akan sekat semua akaun bank milik mangsa.

"Walaupun mangsa telah menafikan penglibatan itu, lelaki berkenaan memaklumkan pihak polis akan menangkapnya sekiranya dia enggan memberi kerjasama," katanya ketika dihubungi di sini.

Anbalagan berkata, mangsa akur dengan permintaan lelaki berkenaan dengan melakukan beberapa transaksi ke beberapa akaun yang diberi suspek sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM179,890.

Menyedari dia telah diperdaya sindiket berkenaan, mangsa yang merupakan ibu tunggal tampil melakukan laporan polis.

"Walaupun banyak kes penipuan seperti ini telah dilaporkan namun masih ada ramai lagi orang yang terpedaya dengan sindiket Macau Scam ini.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi maklumat bank kepada mana-mana pihak dan sentiasa berhati-hati dengan penyamaran pihak tertentu yang menggunakan nama agensi penguatkuasa untuk menipu," katanya.