Dadah: Sofi Jikan ke penjara

Sofi Jikan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya tadi.
Sofi Jikan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya tadi.
A
A
A

[DIKEMASKINI] PELAKON filem popular, Sofi Jikan dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC), Februari tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memerintahkan Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Dalam keputusannya, Mohamad Ikhwan berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Oleh itu kamu disabitkan bersalah terhadap pertuduhan," katanya.

Bagaimanapun, permohonan Sofi Jikan, 49, untuk menangguhkan perlaksaan hukuman penjara tersebut dibenarkan mahkamah dengan syarat notis rayuan perlu difailkan sebelum jam 4 petang.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM3,000 dinaikkan kepada RM9,000.

Terdahulu peguam, Datuk Haniff Hassan memohon hukuman yag ringan kerana anak guamnya sudah menyesal.

"Seperti yang kita maklum, tertuduh bekerja sebagai artis iaitu kerjaya berdasarkan reputasi. Sebelum dia disabitkan hari ini, masyarakat memberi persepsi negatif terhadapnya sekali gus menyekat mata pencariannya.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang sudah ditawarkan tetapi ditamatkan di pertengahan jalan. Ini seolah-olah dia dihukum," katanya yang juga menambah artis tersebut turut giat menjalankan kerja- kerja kebajikan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid memohon supaya mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.

Pada prosiding tersebut, beliau juga membantah permohonan perlaksanaan hukuman yang dikemukakan pihak pembelaan.

"Namun sekiranya mahkamah membenarkan permohonan ini, saya mencadangkan wang jaminan dinaikkan," katanya.

Pada 13 Februari 2018, Sofi Jikan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya jam 11.15 malam, pada 6 Februari 2018.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.