Agong dan bola sepak berpisah tiada: Presiden FAM
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah seorang individu yang sangat cintakan sukan bola sepak, demikian menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin berkata ketika menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM di bawah pentadbiran Sultan Abdullah selaku Presiden FAM, Seri Paduka Baginda merupakan seorang tokoh yang mengamalkan prinsip demokrasi dalam membuat keputusan.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong cenderung mengamalkan prinsip keterbukaan dan demokratik dalam memimpin FAM serta menekankan tanggungjawab secara kolektif,” katanya dalam entri terkini di laman Facebook rasmi FAM hari ini.
Sultan Abdullah, yang tidak asing dalam arena bola sepak tanah air, akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, esok.
Jelas Hamidin, dengan corak kepimpinan sedemikian, diiringi semangat kesukanan yang tinggi, Sultan Abdullah bukan sahaja dipilih sebagai Presiden FAM (2014-2017), bahkan sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (2002-2015) dan juga ahli jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2015 hingga 2019.
Untuk rekod, Jawatankuasa Eksekutif FIFA kemudian diubah menjadi Majlis FIFA pada 2016 susulan pindaan statut badan induk itu.
"Seri Paduka Baginda memang terlalu cintakan bola sepak. Baginda sememangnya bercita-cita menyandang jawatan dalam FIFA sejak dulu lagi.
"Impian itu menjadi kenyataan dalam mesyuarat agung AFC di Bahrain pada 30 April 2015, apabila Seri Paduka Baginda bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima, terpilih menjadi dua ahli dari Asia untuk mewakili suara benua itu dalam FIFA.
"Sebagai Setiausaha Agung FAM waktu itu, saya dan beberapa rakan dalam Exco FAM turut sama melihat kejayaan Seri Paduka Baginda, ia adalah kenangan cukup manis,” katanya.
Memulakan kepimpinan dalam bola sepak sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga 2005, Sultan Abdullah menjadi naib presiden FAM sebelum perlembagaan FAM dipinda pada 1992 untuk membenarkan dua kerusi timbalan presiden.
Seri Paduka Baginda menjadi Timbalan Presiden FAM dari 1992-2007 dan kembali semula memegang jawatan itu pada 2010-2014 sebelum mengambil alih selaku presiden pada 2014.
Sultan Abdullah kemudian mengumumkan untuk melepaskan jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara itu pada 7 Sept 2015, selepas skuad Harimau Malaya tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
"Minat terhadap sukan ini juga bagi saya sudah ada dalam darah keluarga Diraja Pahang, bermula daripada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah, jadi tidak mustahil jika baginda mampu membuat kemunculan semula dalam arena bola sepak," kata Hamidin.
Antara jawatan dipegang Sultan Abdullah di peringkat jawatankuasa ialah Pengerusi Jawatankuasa Semi-pro FAM; Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia Belia FIFA 1997; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC 2015, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC dan Ahli jawatankuasa Teknikal FIFA. -Bernama