Zikir berdiri: Hormati perbezaan, elak perpecahan- Fuziah

Keratan video yang didakwa mengandungi ritual pelik di sebuah surau di Ulu Tembeling tersebar di laman sosial. Gambar kecil: Fuziah
Keratan video yang didakwa mengandungi ritual pelik di sebuah surau di Ulu Tembeling tersebar di laman sosial. Gambar kecil: Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyambut baik pandangan dikeluarkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kontroversi zikir dilakukan sekumpulan penduduk di sebuah kampung di Ulu Tembeling di Jerantut baru-baru ini.

Beliau menerima pandangan tersebut secara terbuka meskipun tindakan sekumpulan penduduk yang berzikir sambil berdiri dan menggoyangkan badan itu pernah dianggap sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fuziah menegaskan, beliau menghormati pandangan mufti negeri berhubung wujudnya khilaf dalam isu terbabit dan meminta semua pihak turut menghormati perbezaan pendapat dalam beragama itu bagi mengelak perpecahan.

"Ada khilaf tentang perkara ini (zikir berdiri) kerana sebelum ini, pandangan Mufti Wilayah Persekutuan melalui 'Bayan Linnas' mengatakan ianya menyeleweng dari ajaran Islam tetapi apabila berlaku khilaf seperti ini, kita hormat dan menerima pandangan dikeluarkan Mufti Pahang terhadap kejadian tersebut yang berlaku di Pahang.

"Kajian terperinci juga telah dilakukan oleh JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) dan apabila kita berhadapan dengan khilaf, kita harus hormat-menghormati daripada berpecah disebabkan situasi khilaf yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 12 saat dan dua lagi klip berdurasi 22 saat didakwa berlaku di sebuah kampung di Jerantut pada 11 Julai lalu.

Aktiviti berkenaan tular di Facebook dikatakan diketuai seorang lelaki berasal dari Terengganu.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan hasil temu ramah bersama Fuziah yang mengatakan aktiviti tersebut menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

Namun, Mufti Pahang mengeluarkan kenyataan bahawa amalan zikir tersebut tidak bercanggah dengan hukum Islam bahkan lebih baik daripada menari di khalayak.

Menurutnya, JAIP juga sudah melakukan siasatan dan mendapati tiada asas untuk menuduh aktiviti beberapa jemaah lelaki dan wanita di sebuah kampung di Ulu Tembeling Jerantut itu sebagai sesat.

ARTIKEL BERKAITAN PAID siasat 'zikir pelik' di Ulu Tembeling

ARTIKEL BERKAITAN Zikir berdiri, goyang badan tidak bercanggah: Mufti Pahang