Lebih mudah jika Kelantan, pusat sealiran - Abdul Rahman

Abdul Rahman - Foto Bernama
Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Penyediaan pembangunan prasarana dan infrastruktur asas yang lebih baik adalah antara agenda utama Barisan Nasional (BN) untuk Kelantan sekiranya rakyat negeri itu memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir Kelantan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perubahan kepimpinan kerajaan Kelantan perlu dilakukan kerana pembangunan infrastruktur lebih mudah dilaksanakan jika kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan pusat.

"Kita tahu Kelantan masih memerlukan banyak pembangunan yang diperlukan daripada (kerajaan) pusat khususnya bekalan air dan tebatan banjir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera BN di Bukit Cekati di sini hari ini.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, jalan raya merupakan kemudahan asas yang sangat penting untuk Kelantan dan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sedang dibangunkan kerajaan pusat akan membawa manfaat besar kepada negeri itu apabila ia siap kelak.

Mengenai kehadirannya di Gua Musang, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Lipis, Pahang berkata, beliau telah diamanahkan sebagai ‘bapa angkat’ kawasan Parlimen Gua Musang dan akan membantu kempen tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dari BN di kawasan Palimen itu pada PRN kali ini.

Ketiga-tiga calon berkenaan terdiri daripada Ab Aziz Yusoff bagi DUN Nenggiri, Amran Arifin (Paloh) dan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas), dan ketiga-tiga mereka merupakan penyandang kawasan masing-masing. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!