Kes rasuah kontrak visa babitkan Ahmad Zahid didengar 14 Ogos

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah sesyen menetapkan 14 Ogos depan sebagai pendengaran bagi kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42.76 juta bagi mengekalkan dan melanjutkan kontrak visa, lima tahun lalu.

Hakim, Rozilah Salleh menetap tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi memohon mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas memaklumkan pihaknya memfailkan notis usul untuk memindahkan kes anak guamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

"Pihak kami memfailkan permohonan itu pada 15 Julai lepas dan ia akan didengari Rabu ini," katanya.

Dalam prosiding itu, Ahmad Zaidi membantah permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gan Peng Kun untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Peng Kun memaklumkan pihaknya telah memfailkan notis usul untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Permohonan dibuat pada 24 Julai lalu dan kami telah menyerahkan salinan kepada pihak peguambela pada 26 Julai," katanya.

Pada 26 Jun, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tujuh pertuduhan menerima suapan lebih S$4.2 juta daripada sebuah syarikat pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sehari selepas itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42.76 juta bagi mengekalkan dan melanjutkan kontrak visa, lima tahun lalu.