Kuala Krai lokasi baharu #QuranHour

Adnan (lapan dari kiri) bersama wakil jabatan selepas mesyuarat Malaysia #QuranHour di Pejabat Tanah dan Jajahan hari ini.
Adnan (lapan dari kiri) bersama wakil jabatan selepas mesyuarat Malaysia #QuranHour di Pejabat Tanah dan Jajahan hari ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Kuala Krai bakal menjadi lokasi baharu bagi kempen #QuranHour selepas penganjurannya berlangsung di Kota Bharu sejak lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Adnan Hashim berkata, sebelum ini, program tersebut tertumpu ke jabatan kerajaan, swasta serta institusi pendidikan sekitar Kota Bharu.

Adnan
Adnan

"Melihat kejayaan program di Kota Bharu, kali ini kita tukar lokasi ke Kuala Krai agar program serupa dapat dilaksanakan dengan jabatan kerajaan, agensi swasta dan institusi pendidikan setempat.

"Tambahan pula, program ini diadakan susulan kejadian banjir besar melanda negara pada Disember 2014 yang menyebabkan Kuala Krai daerah paling teruk terjejas," katanya selepas Mesyuarat Malaysia #QuranHour di Pejabat Tanah dan Jajahan semalam.

Hadir sama, Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor dan Ketua Jajahan, Dr Nik Muhd Azlan Abdul Hadi.

Adnan berkata, setelah lebih lima tahun banjir besar melanda daerah ini, beliau amat berharap masyarakat setempat masih berpegang teguh kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

"Meskipun kesan bencana telah pulih, diharapkan ingatan kepada bencana Disember 2014 membuatkan orang ramai tetap teguh kepada ajaran al-Quran seterusnya berjaya merealisasikan hasrat pelaksanaan program ini membawa orang ramai kepada baca, faham dan amal isi kandungan kitab suci ini.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, kita laksanakan World #QuranHour, Kids #QuranHour, Malaysia #QuranHour serta pelbagai lagi yang kesemuanya mendapat sambutan menggalakkan.

"Jadi, kita berharap program pada 30 Ogos ini bakal diadakan di Kuala Krai berjaya menarik orang ramai mentadabbur dan tazakur al-Quran," katanya.

Katanya, pertukaran lokasi program itu juga disifatkan sebagai kebetulan dengan perpindahan Nik Muhd Azlan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) ke Kuala Krai.

Menurutnya, Nik Muhd Azlan merupakan individu yang banyak membantu program dengan mengajak orang ramai berpegang kepada ajaran kitab suci al-Quran.

"Justeru dengan kerjasama berterusan daripada beliau, kita berharap program turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai," katanya.

Berikutan itu juga, Adnan mengalu-alukan orang ramai terutama dari sekitar Kuala Krai menjayakan Program Malaysia #Quran Hour pada 29 Zulhijjah ini.