Menteri digesa selesai isu Kampung Baru

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad digesa menyelesaikan isu tanah Kampung Baru berasaskan objektif digariskan dalam PSKL2020. (Gambar kecil, Mohd Nizham Abdullah)
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad digesa menyelesaikan isu tanah Kampung Baru berasaskan objektif digariskan dalam PSKL2020. (Gambar kecil, Mohd Nizham Abdullah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad digesa menyelesaikan isu tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur berasaskan objektif digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020).

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi berkata, sebarang rundingan bersama pemilik dan waris tanah Kampung Baru juga perlu dilaksanakan tanpa paksaan termasuk juga tidak seharusnya menggunakan kaedah undang-undang untuk menghalalkan cara.

Menurutnya, baru-baru ini tersebar satu notis melalui aplikasi WhatsApp berkenaan satu sesi pertemuan antara Menteri Wilayah Persekutuan serta pemilik dan waris tanah Kampung Baru.

"Pertemuan bagi membincangkan keputusan dua pilihan yang diberi untuk menjayakan pembangunan Kampung Baru. Kita khuatir apa yang dinyatakan dalam notis tersebut, jika betul maka kerajaan hari ini sememangnya tidak langsung perjuangkan nasib rakyat kerana tidak memberi pilihan selaras dengan objektif digariskan dalam PSKL2020.

“Kerajaan juga dilihat menyalah guna kuasa dengan memaksa pemilik dan waris tanah memilih antara dua pilihan iaitu pembelian tanah secara sukarela atau kerajaan akan menggunakan kaedah undang-undang atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nizham berkata, itu adalah contoh pemerasan kerajaan terhadap rakyat yang seolah-olah hendak dihalau keluar terus daripada tanah yang bernilai bilion ringgit.

"Kerajaan perlu kembali kepada objektif PSKL2020 iaitu melibatkan kawasan rizab Melayu (KRM), kampung-kampung tradisional dan kampung-kampung baru dalam arus pembangunan bandar raya.

"Ia supaya dapat mewujudkan struktur bandar efisien dan saksama serta imej yang konsisten dengan wawasan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab membantu rakyat mencapai objektif digariskan bukannya menolak keluar penduduk Kampung Baru demi matlamat menjadikan tanah itu sebagai ‘lombong emas’ bagi mereka yang berkepentingan.

“Isu tanah Kampung Baru ini amat unik, sensitif dan memerlukan proses konsultasi berterusan. Sebarang perancangan haruslah melibatkan penduduk Kampung Baru sebagai pihak paling utama.

“Wang ringgit tidak akan kekal maka penduduk Kampung Baru perlukan sesuatu yang bersifat jangka panjang demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Terdahulu Mohd Nizham berkata, sebarang tindakan kerajaan menyelesaikan isu Kampung Baru mestilah memenangi kepentingan rakyat dan mengekalkan identiti Kampung Baru sebagai kampung warisan.

"Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Kampung Baru baru-baru ini dialu-alukan dalam memberi nafas baru kepada kualiti persekitaran yang berada di kawasan rizab Melayu.

“Identiti Kampung Baru sebagai satu warisan Kuala Lumpur juga perlu dikekalkan dan tiadanya salah salah wujud kampung warisan di tengah bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.