Pemandu teksi daftar skim SPS masih rendah

Mahfuz (tengah) bersama sebahagian pemandu teksi yang hadir program libat urus yang diadakan di pejabat Perkeso Kedah hari ini.
Mahfuz (tengah) bersama sebahagian pemandu teksi yang hadir program libat urus yang diadakan di pejabat Perkeso Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Hanya 26,653 pemandu teksi, teksi e-hailing dan kenderaan persendirian e-hailing berdaftar bawah Skim Bencana Pekerjaan Sendiri (SPS) yang disediakan bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah itu adalah 8.37 peratus daripada jumlah keseluruhan 318,283 pemandu terlibat di seluruh negara setakat 24 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah itu disifatkan terlalu rendah dan perlu dipertingkatkan susulan akta berkenaan bakal dikuatkuasakan 1 Ogos ini.

“Harap lebih ramai pemandu tampil kerana skim ini beri manfaat besar kepada pemandu yang mencarum.

“Skim ini bukan bertujuan menekan pemandu, sebaliknya untuk melindungi mereka dan keluarga jika berlaku bencana ketika bekerja,” katanya, pada sidang akhbar selepas program libat urus bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah negeri Kedah, hari ini.

Mahfuz berkata, kefahaman berkenaan manfaat skim ini harus digiatkan kerana caruman dikenakan serendah 43 sen sehari.

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat sebagai menekan, ia untuk kebajikan pemandu dan keluarga, mungkin masih ramai yang kurang faham.

“Disebabkan itu, Perkeso giat turun padang ke semua negeri untuk adakan taklimat berhubung skim berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya berharap pemandu mendaftar segera kerana ia merupakan undang-undang dan diwajibkan setelah diadakan bulan pemutihan dan penguatkuasaan.

“Sehingga 26 Julai, sudah diadakan program libat urus sebanyak 1801 bersama persatuan dan pemandu teksi di 54 buah pejabat Perkeso seluruh negara.

“Tahun ini sahaja 621 program diadakan untuk hebahan dan penjelasan,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun terdapat rungutan daripada pemandu ketika sesi dialog, sebilangan besar bersedia mencarum skim tersebut bagi menerima manfaatnya, namun mohon disediakan kemudahan bersesuaian.

“Antaranya, kesukaran untuk pemandu hadir ke pejabat Perkeso untuk membuat caruman bulanan.

“Perkeso dan persatuan pemandu boleh adakan perbincangan mencari kaedah yang sesuai, antaranya kutipan tiga bulan sekali untuk mudahkan pencarum,” katanya.

Menurutnya, ini kerana hanya terdapat empat pejabat Perkeso di Kedah, iaitu di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi.