Mat Beruk ditahan curi lembu guna kaedah sumpit

Noorzainy menunjukkan sumpit yang digunakan oleh kumpulan terbabit untuk mencuri lembu.
Noorzainy menunjukkan sumpit yang digunakan oleh kumpulan terbabit untuk mencuri lembu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua daripada tiga individu termasuk seorang lelaki dikenali sebagai 'Mat Beruk' yang mencuri lembu menggunakan kaedah menyumpit di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Kulim berjaya diberkas Ahad dan Isnin lalu.

Kesemua penjenayah itu menyumpit menggunakan ubat pelali khas dari Thailand sebelum menyumbat lembu berkenaan ke dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum ini pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kes kecurian lembu di daerah ini yang dipercayai dijual menjelang Aidiladha.

Menurutnya, pada kira-kira jam 4.15 petang Ahad lalu, polis menerima laporan terdapat sebuah Proton Wira dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan ingin dijalankan, pemandu kereta terbabit memecut laju kenderaan itu menyebabkan polis terpaksa mengejarnya dari Butterworth hingga ke Kampung Seberang Sungai Keladi, Kulim.

"Ketiga-tiga suspek kemudian meloloskan diri dan meninggalkan kereta terbabit di kawasan perkampungan itu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Noorzainy pada sidang akhbar mengenai penahanan dua lelaki dalam kegiatan mencuri lembu di sekitar Seberang Perai Utara dan Kulim, hari ini.
Noorzainy pada sidang akhbar mengenai penahanan dua lelaki dalam kegiatan mencuri lembu di sekitar Seberang Perai Utara dan Kulim, hari ini.

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan pada kereta berkenan menemui dua ekor lembu yang dilarikan termasuk peralatan menyumpit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menggerakkan operasi memburu suspek dan berjaya menahan dalang utama sindiket berkenaan berusia 33 tahun di Kulim pada hari sama.

Beliau berkata, suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Mat Beruk’ itu mengaku terbabit dengan kegiatan curi lembu di daerah ini termasuk Kedah dan susulan daripada tangkapan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 26 tahun di Jalan Tanjung Piandang, Perak pada Selasa lalu.

"Geng ini yang dikenali dengan nama geng sumpit dipercayai melakukan kegiatan curi lembu sejak lima bulan lalu dan menjualnya dengan harga bermula RM500 hingga lebih RM1,000 yang mana hasilnya mereka gunakan untuk membeli dadah.

"Kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau kini diserahkan kepada pihak IPD (Ibu Pejabat Polis) Kulim untuk siasatan lanjut dan kita masih mengesan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 379 kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.