Pantai jadi kubur

Seorang wakil daripada Persatuan Palang Merah Tunisia memeriksa beg berisi mayat pendatang asing yang lemas di perairan negara itu ketika cuba memasuki Eropah.
Seorang wakil daripada Persatuan Palang Merah Tunisia memeriksa beg berisi mayat pendatang asing yang lemas di perairan negara itu ketika cuba memasuki Eropah.
A
A
A

TUNIS - Tunisia berdepan masalah lambakan mayat pendatang asing yang mati lemas di laut dan dihanyutkan ke kawasan pantainya.

Kebanyakan pendatang terbabit menemui ajal selepas bot dinaiki mereka karam di Laut Mediterranean ketika cuba memasuki Eropah.

Dalam insiden pada Mei lalu, sebuah bot membawa pendatang asing karam menyebabkan bandar di tepi pantai Tunisia terutama di Gabes terpaksa mengendalikan puluhan mayat.

Awal bulan ini pula, lebih 80 mayat dihanyutkan berhampiran bandar pelabuhan Zarzis dan sebahagian lagi di kawasan pulau peranginan Djerba di bahagian selatan.

Situasi itu menyebabkan kesesakan luar biasa di bilik mayat hospital kerana kesukaran untuk mencari tapak perkuburan sesuai bagi mengebumikan mangsa.

"Di bilik mayat, mayat terpaksa disusun saling bertindih di atas lantai kerana terlalu banyak sedangkan kapasiti bilik itu hanya mampu menampung 30 mayat.

"Selepas ujian forensik, mayat pendatang terbabit terpaksa disimpan dalam bilik mayat hingga tapak pengebumian ditemui di mana ia amat menyukarkan Tunisia," kata Gabenor Gabes, Mongi Thameur.

Tambahnya, kebanyakan pihak perbandaran juga enggan membenarkan pendatang asing yang mati lemas dikebumikan di kawasan perkuburan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang takut mayat itu pembawa kolera dan ada yang enggan mengebumikan mayat di tapak perkuburan Islam jika agama si mati tidak diketahui,” katanya. – AFP