Maqis rampas produk hasilan babi

Sebuah lori ditahan kerana membawa produk hasilan babi tanpa sebarang dokumen sah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lepas.
Sebuah lori ditahan kerana membawa produk hasilan babi tanpa sebarang dokumen sah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lepas.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kira-kira 80 kilogram (kg) produk hasilan babi dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lepas.

Pengarah Maqis Kedah, P. Lily Rosalind berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang dipercayai membawa produk hasilan babi dari negara Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah.

Menurutnya, lori jenis Isuzu berkenaan ditahan susulan tidak memiliki dokumen Import Permit (IP) dan Sijil Kesihatan Veterinar dari negara asal tidak dikemukakan pengimport.

"Melalui pemeriksaan, pihaknya turut menemui sebanyak 80kg produk hasilan babi dipercayai sosej babi yang cuba diseludup masuk ke Malaysia walaupun larangan pengimportan daging babi dikeluarkan.

"Larangan pengimportan daging babi dari beberapa negara termasuklah China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium telah dikeluarkan demi mengelakkan kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian produk hasil babi dirampas Maqis di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lepas.
Sebahagian produk hasil babi dirampas Maqis di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk babi proses.

"Sehubungan itu, sebarang pengimportan konsainan hasilan haiwan seperti produk babi memerlukan permit daripada Jabatan MAQIS dan dokumen lain yang telah dinyatakan di dalam permit import," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lily berkata, pihak Maqis telah menahan produk hasilan babi itu dan bertindak memusnahkannya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Katanya, usaha berkenaan diambil demi memastikan risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah dan tindakan lanjut akan dikenakan kepada pengimport tersebut.

Menurutnya, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit sah daripada Jabatan Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen 11(3), Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Lily menjelaskan, Akta 728 itu digunapakai demi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia, sekali gus mengawal kemasukan perosak berbahaya mampu mengancam industri pertanian negara.

"Malah, pihaknya mendapati ia dikhuatiri mampu mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak di kawal dan boleh menjejaskan industri ternakan babi di Malaysia," katanya.