21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah umum keluar parti

Khairuddin
Khairuddin
A
A
A

MELAKA - Seramai 21 orang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah termasuk Naib Pengerusinya, Khairuddin Ibrahim bertindak mengumumkan keluar parti itu gara-gara tidak puas hati dengan Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPN) PKR negeri.

Ketika dihubungi, Khairuddin yang sudah memegang jawatan tersebut sejak tiga penggal lalu berkata, beliau bersama 20 ahli lain membuat keputusan itu disebabkan tidak berpuas hati dengan Pengerusi PKR negeri, Halim Bachik kerana yang didakwa mengamalkan corak kepimpinan ala Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Halim merupakan ketua Cabang PKR Masjid Tanah yang dipilih sebagai pengerusi negeri selepas pemilihan parti pada 2018 lalu.

"Selain mengamalkan corak kepimpinan ala BN, PKR Melaka di bawah Halim dilihat hanya memberi perhatian kepada kumpulan yang disenanginya saja," dakwanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Khairuddin, hasrat untuk keluar parti bersama 20 yang lain telah dinyatakan menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Cabang itu (Halim) pada 17 Mei lalu.

"Selepas menunggu lama, saya akhirnya memutuskan untuk mengajukan satu lagi surat yang sama isinya pada Selasa lalu sekaligus mengumumkan niat keluar parti.

"Sebenarnya ramai lagi yang akan menyusul melakukan tindakan sama dan saya bercadang untuk mengumumkannya secara rasmi dalam satu majlis khas dalam masa terdekat," katanya.

Khairuddin berkata, beliau mula menyertai PKR pada 1999, ketika Khalid Jaafar menerajui PKR Melaka, dan membuka cawangan di Pengkalan Balak sehingga menang pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin turut menjelaskan ahli-ahli yang keluar dari parti itu bukan didorong oleh perasaan tamak kuasa sebaliknya kecewa apabila jasa dan pengorbanan mereka tidak dihargai.

"Saya naib pengerusi selama tiga penggal. Saya banyak membawa keahlian ke PKR. Masih ramai datang jumpa kami untuk mendapatkan bantuan," katanya sambil menambah, walaupun meninggalkan PKR, mereka tidak akan menyertai BN.

Sementara itu, Halim ketika dihubungi berkata, beliau menghormati tindakan Khairuddin dan beberapa ahli lain yang berhasrat untuk keluar parti.

"Saya tiada masalah sekiranya mereka ingin keluar parti, itu adalah hak masing-masing. Ia langsung tidak menjejaskan pentadbiran di peringkat cabang Masjid Tanah dan negeri," katanya.