MP Dungun disamun, rugi RM26,000

Wan Hassan menunjukkan caranya menarik beg ketika bergelut dengan suspek.
Wan Hassan menunjukkan caranya menarik beg ketika bergelut dengan suspek.
A
A
A

DUNGUN - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli cedera dan kerugian sebanyak RM26,000 apabila disamun seorang lelaki selepas keluar dari sebuah bank di bandar Dungun di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Wan Hassan, 62, mengalami kecederaan di betis kiri dan kedua-dua tangan kerana bergelut dengan suspek yang merentap beg silang di dalam kenderaannya kira-kira jam 2.30 petang.

Wang itu dikeluarkan untuk membayar harga seekor lembu dan beberapa bahagian lembu untuk melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha selain serta untuk melangsaikan hutang.

Wan Hassan berkata, kejadian berlaku sebaik sahaja beliau memasuki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier yang diletakkan di hadapan sebuah kedai kek bersebelahan bank.

"Sebaik sahaja saya duduk di tempat pemandu, lelaki itu buka pintu belah penumpang depan dan saya ingatkan dia nak mengadu masalah atau mohon sumbangan.

"Tapi tiba-tiba dia rentap beg saya dan kami bergelut agak lama. Lepas lebih kurang lima minit tarik menarik beg, saya cuba angkat kaki untuk tendang suspek tapi kaki saya tersekat dengan stereng sebelum dia berjaya larikan beg yang berisi duit itu," katanya.

Wan Hasaan mengalami luka di kedua-dua belah tangan dan betis kirinya selepas bergelut dengan suspek.
Wan Hasaan mengalami luka di kedua-dua belah tangan dan betis kirinya selepas bergelut dengan suspek.

Menurutnya, ketika kejadian dia tidak mengecam wajah suspek kerana cermin matanya terjatuh semasa pergelutan namun ada saksi di tempat kejadian sempat mengecam motosikal dinaiki suspek ketika melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Suspek larikan diri dengan bonceng sebuah motosikal dan diekori dengan laju sebuah kereta, mungkin mereka berpakat dan dah rancang awal.

"Sepanjang pergelutan saya hanya mampu menyebut Ya ALLAH berulang kali kerana terlalu terkejut dan tidak pernah berdepan kejadian macam ini sepanjang empat penggal jadi wakil rakyat," katanya.

Wan Hassan berkata, sebelum kejadian dia turut menyedari suspek mundar mandir di ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank terbabit dan ekoran kejadian itu beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dungun pada jam 3.05 petang.

"Kejadian ini sangat menakutkan dan saya akan lebih berhati-hati lepas ini serta saya juga nasihatkan orang ramai berwaspada semasa keluarkan wang dalam jumlah besar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, suspek kini sedang diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga menyebabkan kecederaan.