Lelaki cederakan diri sendiri, dakwa wang RM100,000 disamun

Aidi Sham (dua, kiri) menunjukkan wang tunai RM100,000 yang ditemui semula.
Aidi Sham (dua, kiri) menunjukkan wang tunai RM100,000 yang ditemui semula.
A
A
A

PORT DICKSON - Demi membayar hutang, seorang lelaki mencederakan diri sehingga menerima 25 jahitan di lengannya selepas mendakwa disamun ketika membawa wang RM100,000 dalam kejadian di sebuah jalan pintas ke Lukut pada petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 26 tahun ini merupakan seorang ejen yang menjalankan perniagaan Bitcoin dan duit RM100,000 yang dikeluarkan itu disyaki daripada pelanggan perniagaan tersebut.

"Dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson pada 12.50 tengah malam Selasa lalu mendakwa disamun semasa dalam perjalanan membawa duit tersebut ke Lukut pada petang Isnin jam lebih kurang 7.15 petang.

"Dalam kejadian itu, dia mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal yang turut mencederakannya di bahagian lengan kanan. Selain itu, wang tunai RM100,000, dokumen pengenalan dirinya dan telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikalnya turut dilarikan.

"Akibat kejadian itu, dia menerima 25 jahitan di Hospital Port Dickson.

"Bagaiman pun pada hari sama laporan dibuat, dia ditahan polis jam lebih kurang 3.15 petang di kediamannya di Kampung Lagenda, Port Dickson kerana keterangan dan laporan yang dibuat meragukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, hari ini.

Aidi Sham menunjukkan keadaan lengan suspek yang ditorehnya.
Aidi Sham menunjukkan keadaan lengan suspek yang ditorehnya.

Aidi Sham berkata, rentetan penahanannya, polis menjumpai semula wang RM100,000 yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran Sungai Pinggiran Senawang.

Artikel Berkaitan:

Lelaki terbabit dikatakan membuat pengeluaran wang tersebut sebelum ini untuk tujuan membayar hutangnya.

"Suspek seterusnya telah dibawa reman ke Mahkamah Seremban dan permohonan reman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin depan (29 Julai) dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, Aidi Sham berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Si Rusa, di sini dan menahan dua lelaki berusia 28 dan 42 tahun dipercayai merupakan pengedar dadah pada Ahad lalu jam 6.15 pagi.

"Hasil serbuan itu, polis menjumpai sebuah kotak yang diletakkan atas lantai berisi tujuh peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 28.50 gram nilai lebih kurang RM1,140.

"Manakala turut dijumpai dalam kotak sama, satu peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 2.82 gram bernilai RM282.

"Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 28 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan seorang lagi suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau serta positif dadah menerusi saringan ujian urin," katanya.

Duit RM100,000 yang ditemui semula.
Duit RM100,000 yang ditemui semula.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah tiga kali seminggu dari negeri bersempadanan sebelum diedar di sekitar daerah ini.

Suspek direman bermula Isnin lalu hingga Ahad ini bagi melengkapkan kertas siasatan.