Baki tiket final Piala FA dijual di Stadium Shah Alam esok

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 2,000 tiket untuk perlawanan akhir Piala FA 2019 di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini, akan dijual di Stadium Shah Alam, Selangor pagi esok.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa berkata, ia adalah baki daripada 30,000 tiket yang dijual di Stadium Darul Aman pada Selasa lepas.

“Selepas mendapat kebenaran daripada pihak Stadium Shah Alam, kita akan membuka jualan di kaunter Quadrant ‘A’ bermula 10 pagi hingga 5 petang dan tiket ini adalah kuota penyokong Kedah dan dicetak pintu masuk kawasan Kedah sahaja.

“Tiket yang dijual juga hanya membabitkan tiket dewasa yang berharga RM50 dan saya optimis ianya akan habis dijual esok,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjualan tiket di stadium berkenaan akan memudahkan penyokong serta peminat setia Lang Merah yang tinggal di Lembah Klang untuk mendapatkannya.

Dua hari lalu, penjualan tiket final Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman ‘hambar’ setelah kaunter jualannya dibuka pada 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kedah berjaya melangkah ke perlawanan akhir setelah mengambil kira kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3 dengan Felda United pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 30 Jun lepas.

Skuad Lang Merah, yang merupakan juara empat kali, bakal dicabar oleh juara dua kali, Perak yang menewaskan Pahang 4-3 secara agregat di Ipoh pada perlawanan separuh akhir kedua.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir Kedah merangkul kejuaraan Piala FA ialah pada 2017 selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.- Bernama