Sindiket seleweng minyak diesel tumpas

Omar menunjukkan LPG yang disita bersama lori di Kampung Permatang Limau, Mukim Lesong Pokok Sena, Kedah kelmarin.
Omar menunjukkan LPG yang disita bersama lori di Kampung Permatang Limau, Mukim Lesong Pokok Sena, Kedah kelmarin.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel yang bergiat aktif di negeri berkenaan, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, pasukan yang diketuai penolong pegawai penguat kuasa, Farezzul Naim Saad berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan kira-kira jam 12.15 tengah hari di sebuah stesen minyak berjenama di Jalan Padang Besar.

Menurutnya, ketika kejadian suspek sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan kenderaan jenis Pajero di stesen minyak berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat minyak diesel berjumlah lebih kurang 200 liter berada dalam sebuah tangki besi yang diubah suai yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan terbabit.

"Soal siasat bersama suspek berusia awal 30-an itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membeli dan menyimpan barang kawalan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat lima buah tangki besi yang diubah suai berada di bahagian belakang dan bawah kenderaan terbabit.

"Dianggarkan kesemua tangki boleh memuatkan lebih kurang 1,200 liter petrol atau diesel," katanya.

Beliau berkata, penahanan kenderaan ini merupakan kali kedua melibatkan suspek berbeza.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Amir menunjukkan tangki yang diubah suai di bahagian bawah kenderaan berkenaan. (Gambar kecil, Mohamad Amir menunjukan tempat mengisi minyak yang diubah suai supaya diesel atau petrol yang diisi akan disalurkan ke dalam lima buah tangki yang dimuatkan dalam kenderaan terbabit.)
Mohamad Amir menunjukkan tangki yang diubah suai di bahagian bawah kenderaan berkenaan. (Gambar kecil, Mohamad Amir menunjukan tempat mengisi minyak yang diubah suai supaya diesel atau petrol yang diisi akan disalurkan ke dalam lima buah tangki yang dimuatkan dalam kenderaan terbabit.)

"Berdasarkan rekod, kenderaan ini pernah ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Padang Besar, Perlis disebabkan kesalahan yang sama pada Februari lalu.

"Kita mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengutip minyak dari satu stesen ke satu stesen sebelum dijual ke negara jiran," katanya.

Mohamad Amir berkata, pihaknya telah menahan suspek dan menyita kenderaan bersama diesel yang keseluruhannya berjumlah RM10,416.

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Manakala bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan KPDNHEP Kedah kerana menyimpan gas petroleum cecair (LPG) tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kampung Permatang Limau, Mukim Lesong Pokok Sena, Kedah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, lelaki berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen untuk menyimpan barang kawalan berjadual di premis berkenaan.

Katanya, serbuan yang dijalankan pada jam 7.20 malam kelmarin berjaya menemui 267 unit LPG kosong dan berisi seberat 12 dan 14 kilogram (kg).

"Sebanyak 133 unit LPG ditemui di atas dua buah lori di rumah berkenaan, manakala selebihnya ditemui di sebuah stor berhampiran rumah terbabit.

"Kita percaya kesemua LPG ini adalah untuk edaran pasaran tempatan dan masih menyiasat sekiranya ada pihak lain yang turut terlibat," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah menahan lelaki terbabit dan turut merampas kesemua LPG berkenaan termasuk dua buah lori yang keseluruhannya berjumlah RM53,272.

"Kes akan disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (berurusniaga barang kawalan tanpa lesen runcit/borong) atau lain-lain kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!