Bersatu Pengkalan Che Pa kukuh di belakang parti

Ahmad Nas Ruddin Abdullah
Ahmad Nas Ruddin Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Isu semasa dan pergolakan dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak memberi kesan kepada sokongan ahli terhadap pakatan itu.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pengkalan Chepa, Ahmad Nas Ruddin Abdullah berkata, sehingga kini Bersatu bahagian itu mempunyai 3,600 orang keahlian.

Menurutnya, jumlah tersebut sentiasa bertambah setiap masa dan kita mempunyai 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 25 cawangan mempunyai sekurang-kurangnya 15 ahli jawatankuasa (AJK) untuk memegang pelbagai jawatan dalam PDM itu.

"Ia melibatkan 65 peratus Srikandi yang mana rata-ratanya adalah muka baharu dalam dunia politik tanah air.

"Mereka masih kosong dan ketua setiap PDM perlu membuat inisiatif sendiri untuk membantu memberi pendedahan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui sewaktu Majlis Wacana Ilmu Srikandi-Srikandi Kelantan bersama isteri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek iaitu Dr Hamidah Tuan Mat di sini hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pertubuhan Masyarakat Pengkalan Chepa (PMPC) yang dipengerusikan oleh Datin Seri Nur Azizah Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kebanyakan daripada AJK mempunyai sekurang-kurangnya latar pendidikan yang mampu membantu masyarakat setempat bila diperlukan.

Menurutnya, langkah tersebut sangat penting sebagai persediaan mereka menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam segala hal.

Malah katanya, mereka juga dididik untuk tidak meletakkan habuan sebagai perkara utama dalam melakukan setiap perkara terutama melibatkan pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

"Alhamdulillah mereka ini benar-benar ikhlas dalam perjuangan, mereka betul-betul 'fresh', bukan daripada cebisan mana-mana parti, walau BN (Barisan Nasional) sekalipun.

"Yang tinggal kini satu usaha ke arah untuk mendekatkan lagi diri pemimpin dengan rakyat. Itu sangat penting.

"Kami juga sedang melangkah ke arah tersebut walaupun kami tidak dihidangkan dengan peruntukan yang besar. Apa yang kami mampu buat, kami akan cuba sebaik mungkin demi rakyat," katanya.