PRN: BN tak benar parti komponen bincang agihan kerusi berasingan

Ahmad Zahid (tiga, kiri) bersama Ahmad (empat, kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Pontian di Benut pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tiga, kiri) bersama Ahmad (empat, kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Pontian di Benut pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Perbincangan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dilaksanakan melibatkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan bukannya secara berasingan membabitkan parti komponen.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak membenarkan parti komponennya mengadakan perbincangan secara berasingan di peringkat negeri yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.

"Maka, sebarang perbincangan hendaklah melibatkan dua parti gabungan kita, iaitu BN dan PH.

"Semua keputusan yang dibuat dalam perbincangan di enam negeri ini akan dibawa ke peringkat tertinggi di mana kita akan terus bincangkan tentang kerusi-kerusi yang sesuai untuk ditandingi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Ditanya adakah perbincangan itu akan mengguna pakai formula 'status quo', Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, ada pelbagai formula akan digunakan.

"Apabila kedua-dua pihak telah bersetuju, kita akan cari jalan penyelesaian yang akan dimuktamadkan dan terbaik," katanya.