Peguam Negara nafi failkan afidavit punca kematian Adib

Tommy Thomas - FOTO:ZAHID IZZANI
Tommy Thomas - FOTO:ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah untuk memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan berhubung punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy berkata demikian dalam jawapannya kepada permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lepas.

Beliau berkata pihaknya tidak mengarahkan atau memberi arahan berhubung tugas harian kepada 1,200 pegawai undang-undangnya.

"Dalam perkara ini, apa-apa yang diikrarkan dan difailkan oleh Hamdan dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib adalah di bawah bidang tugasnya.

"Tanggapan dan rumusan pemohon terhadap afidavit Hamdan adalah ‘mischievous’, suatu salah tanggapan dan tanpa sebarang asas atau merit, " katanya di sini.

Terdahulu, Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh untuk menyelesaikan isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat Mohd Kassim.

Mohd Kassim, 64, sebelum ini memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lepas yang mana menyatakan kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.- Bernama