Pencemaran najis burung: Ibu bapa bimbang keselamatan anak di sekolah

Mohd Khuzzan (kiri) ketika meninjau keadaan bilik darjah yang dicemari najis burung.
Mohd Khuzzan (kiri) ketika meninjau keadaan bilik darjah yang dicemari najis burung.
A
A
A

PASIR GUDANG - Rata-rata ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di sini melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak masing-masing susulan pendedahan terbaharu berkaitan pencemaran najis dan hama burung merpati.

Bapa kepada murid darjah 2, Mohd Shah Md Ali Hanafiah berkata, dia bimbang jika keadaan itu memberikan kesan kepada kesihatan anaknya dan murid lain untuk jangka masa panjang.

"Sebagai bapa saya harap pihak berwajib dapat selesaikan segera sebab ini melibatkan keselamatan anak-anak di sekolah.

"Burung merpati terlalu banyak di sekolah dan kita risau burung-burung ini bawa penyakit yang boleh membahayakan warga sekolah pula," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Exco Kesihatan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pencemaran najis dan hama burung merpati di SK Tanjung Puteri Resort mungkin antara faktor yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan murid sekolah itu berulang.

Beliau yang membuat tinjauan ke tingkat empat sekolah itu bersama Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz menemui kesan najis burung dalam beberapa bilik darjah, siling dan balkoni.

Menurut Mohd Shah, kerajaan perlu segera menangani isu tersebut demi keselamatan semua warga sekolah.

"Hal berkaitan pencemaran burung itu sudah lama dibangkitkan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas pun ada dibangkitkan isu burung merpati ini dalam mesyuarat tapi saya difahamkan dana nak bersihkan itu tak ada.

"Bersihkan segera, tak perlu tangguh lagi dan saya harap sangat pihak pendidikan dapat menyegerakan kerja pembersihan dan baik pulih ini," katanya.

Tambahnya, sehingga kerja pembersihan itu siap, kesemua kelas di tingkat empat itu perlu dialihkan ke tingkat bawah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Sementara seorang ibu kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Aida Salikin, 48 melahirkan kekesalan terhadap isu keselamatan anaknya ketika di sekolah yang tidak sudah-sudah.

"Perkara ini amat mendukacitakan. Dulu kita risaukan pencemaran kimia apabila anak ke sekolah, sekarang risaukan burung merpati pula.

"Bersihkanlah segera supaya anak dapat belajar dengan selesa, selenggara dengan elok," katanya.

Bagi datuk murid darjah 3, Johari Iskandar, 51 pula berkata sejak insiden pencemaran Mac lepas, hatinya tidak tenang setiap kali dia menghantar cucunya ke sekolah kerana bimbang perkara sama berulang lagi selepas cucu perempuannya itu menjadi mangsa sebanyak tiga kali.

"Saya sentiasa was-was dengan keadaan keselamatan cucu di sekolah, tak senang hati.

"Sampaikan saya belikan cucu topeng penutup hidung dan mulut yang mahal untuk dipakai setiap hari ketika di sekolah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Najis, hama merpati punca masalah kesihatan murid?