JAS kenakan 10 kompaun kepada tiga premis

Rosli (kiri) menyatakan sesuatu kepada pemilik premis yang diperiksa sempena operasi bersepadu tersebut.
Rosli (kiri) menyatakan sesuatu kepada pemilik premis yang diperiksa sempena operasi bersepadu tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengeluarkan 10 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM20,000 membabitkan tiga premis yang melanggar Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, jumlah tersebut hasil pemeriksaan terhadap lima lokasi berpotensi sempena Operasi Bersepadu Lokasi-Lokasi Berpotensi sebagai Tapak Pelupusan Bahan Berbahaya di daerah tersebut.

Menurutnya, beberapa kesalahan dikesan daripada premis terbabit antaranya tiada pelabelan, menempatkan bekas-bekas yang mengandungi bahan buang berjadual di tempat terbuka dan tumpahan minyak di atas tanah.

"Kita akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 kompaun terhadap pengusaha-pengusaha premis terbabit. Selain kompaun, notis turut dikeluarkan terhadap pengusaha terlibat di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kerja-kerja pembersihan dijalankan serta- merta.

"Hari ini hari kedua operasi bersepadu dijalankan iaitu hari pertama iaitu semalam di Kuantan dengan lima lokasi diperiksa sama seperti di Temerloh hari ini (semalam).

Rosli (tengah) memberikan penjelasan ketika operasi bersepadu itu dijalankan.
Rosli (tengah) memberikan penjelasan ketika operasi bersepadu itu dijalankan.

"Di daerah ini, sebanyak 26 lokasi di daerah ini telah dikenalpasti daripada 86 lokasi seluruh Pahang yang berpotensi sebagai Tapak Pelupusan Bahan Berbahaya selepas Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) sebelum ini menyenaraikan 225 lokasi hasil cerapan agensi tersebut," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas operasi tersebut yang disertai beberapa agensi lain iaitu Pejabat Daerah dan Tanah,Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Jabatan Perhutanan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awal (SWCorp) dan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ketua Cawangan JAS Temerloh, Siti Noriah Abu Bakar.

Dalam pada itu, Rosli memberitahu, pihaknya akan melakukan tindakan susulan untuk memastikan pengusaha terlibat melakukan penambahbaikan.

"Jika mereka masih gagal mematuhi arahan yang ditetapkan seperti tidak menjelaskan kompaun, selain boleh dikenakan tindakan undang-undang, kita boleh mengesyorkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyemak semula pengeluaran lesen" ujarnya.

Antara lokasi yang diperiksa dalam operasi tersebut melibatkan bengkel penyelenggaraan kenderaan dan barang lusuh dan tapak pelupusan sisa dengan penglibatan 23 kakitangan daripada agensi- agensi terbabit.