Sangka alami kemurungan, rupanya hidap kanser otak tahap tiga

Penyampaian sumbangan dan penyerahan plat program gotong-royong sukarelawan Joydec, pejabat daerah dan Majlis Belia Daerah Pontian kepada Firdaus dan ibunya, Kasmah (duduk di katil) di Kampung Parit Abdul Rahman Benut, semalam.
Penyampaian sumbangan dan penyerahan plat program gotong-royong sukarelawan Joydec, pejabat daerah dan Majlis Belia Daerah Pontian kepada Firdaus dan ibunya, Kasmah (duduk di katil) di Kampung Parit Abdul Rahman Benut, semalam.
A
A
A

PONTIAN - Seorang operator pengeluaran tidak menyangka kesihatannya yang terganggu selepas putus tunang September tahun lepas rupanya petanda dia menghidap kanser otak tahap tiga.

Mohd Firdaus Mongak, 30, yang sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam kepala Mac lalu kini hanya bergantung dengan rawatan radioterapi dan ubat-ubatan.

"Pada mulanya saya pergi hospital untuk rawatan kemurungan lepas putus tunang, sebab selera makan kurang. Lama-kelamaan berat badan makin susut dan kepala selalu sakit. Kemudian saya jalani pemeriksaan MRI (imbasan pengimejan resonans magnetik), kemudian disahkan ada ketumbuhan dalam kepala," katanya.

Sementara itu ibunya, Kasmah Kassim, 62, berkata, Firdaus yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tiada selera makan dan hanya mampu menjamah leher, kaki dan tulang ayam yang dimasak sup.

Katanya, Firdaus cukup kuat melawan penyakit kanser otak dengan telah melalui 30 kali rawatan radioterapi.

Akui Kasmah yang merupakan ibu tunggal, dia berdepan kesukaran menghantar Firdaus ke hospital di Johor Bahru kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Kasmah menunjukkan kesan pembedahan di kepala Firdaus yang menderita kanser otak.
Kasmah menunjukkan kesan pembedahan di kepala Firdaus yang menderita kanser otak.

"Anak kedua, Mohd Faiz, 32, yang masih bujang tinggal dengan saya dan dialah yang bantu jaga Firdaus. Faiz kerja kilang di Pekan Nanas.

Artikel Berkaitan:

"Saya kena minta tolong orang kampung dan saudara-mara kalau nak bawa Firdaus ke hospital di Johor Bahru. Kos pengangkutan pergi balik dianggarkan RM100," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, di Kampung Parit Abdul Rahman, di sini, semalam.

Kesukaran dihadapi Kasmah mendapat perhatian Sukarelawan Johor Darul Takzim @ Joydec besama Pejabat Daerah dan Majlis Belia Daerah Pontian (MBDP) yang tampil membantu membaiki bumbung rumahnya yang bocor.

Sementara itu Yang Dipertua MBDP, Mohd Iskandar Selamat berkata, pihaknya akan membantu Firdaus untuk ke hospital dengan menyediakan pengangkutan yang sesuai.

Beliau berharap Firdaus terus kuat untuk melawan penyakit kanser otak yang dihadapinya kini.