Pendakwaan fail permohonan formal tuntut maaf daripada Najib

A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan di perbicaraan SRC Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfail permohanan formal meminta satu perintah mahkamah bagi mendesak bekas perdana menteri itu memohon maaf kerana postingnya di Facebook yang beliau buat minggu lepas berhubung perbelanjaan kad kreditnya.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, mahukan pihak pendakwaan menjelaskan apa sebenarnya yang mereka pohon daripada mahkamah.

"Apa bentuk permohonan? Anda mahu tertuduh memohon maaf daripada mahkamah?” tanya hakim kepada Peguam Negara (AG) Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan pada hari ke-42 perbicaraan.

"Kami mahukan permintaan maaf atas beberapa posting yang lepas dan janji yang beliau tidak akan lakukannya lagi pada masa depan,” kata Thomas.

Mohd Nazlan: Permohanan ini amat kabur... Tidak ada penjelasan tentang apa yang ofensif atau apa yang boleh dianggap sub judice. Lebih baik (buat) satu permohonan formal oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata AG tidak memfail sebarang aduan terhadap tertuduh.

"Pendakwaan mahu anak guam saya memohon maaf tetapi anak guam saya tidak tahu apa kesalahan dilakukannya,” kata beliau.

Beliau menyatakan memohon maaf boleh nanti dianggap satu pengakuan salah laku, sedangkan tidak ada apa-apa yang telah dipastikan terhadap anak guamnya.

Thomas kemudian berdiri dan menegaskan pendakwaan akan membuat permohonan formal berhubung perkara itu.

"Minggu lepas saya buat satu permohonan oral dan pada masa itu, pembelaan tidak meminta permohonan formal... tak apa, kami akan fail permohonan formal," katanya.

Mohd Nazlan: Ya... Itu lebih baik sebab mahkamah perlu membuat satu keputusan (mengenai perkara itu).

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia