Selangor ikut rentak trend dunia menuju negeri pintar 2025

Amirudin
Amirudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negeri Selangor mengikut rapat trend terkini dunia sebagai persediaan menuju negeri pintar 2025.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pembangunan aeroangkasa antara menjadi topik global khususnya di bandar besar seluruh dunia.

Menurutnya, Selangor melangkah setapak ke hadapan dengan menggabungkan teknologi dengan inisiatif baharu termasuk bandar pintar menjelang 2025.

"Jika mengikut kriteria negeri maju, Selangor telah mencapai tahap itu sejak 2005 namun ia tidak cukup untuk bersaing di bandar-bandar besar.

"Perlu ada elemen tambahan yang perlu dimasukkan dalam mewujudkan negeri yang tersusun dan pintar selain mengukuhkan sektor perindustrian serta ekonomi di Selangor," katanya pada program Selangor Regional Powerhouse Forum di Hotel Hilton di sini hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri memfokuskan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik, pengangkutan, makanan dan minuman (F&B) yang menjadi nadi ekonomi di Selangor.

"Ini trend dunia dan pembangunan terkini di bandar besar dunia.

"(Jika) Kita pergi mana-mana pun di Amsterdam, Singapura, Jakarta negeri pintar adalah topik yang dibincangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Selangor juga telah mempunyai asas kukuh dalam bidang aeroangkasa berbanding negeri-negeri lain.

"Selangor mempunyai 200 syarikat yang menyumbang besar dalam bidang aeroangkasa dunia termasuk pemusatan Sepang, Subang dan Serendah (3S) yang menguasai 62 peratus sektor itu di Malaysia.

"Kerana itu sektor aeroangkasa menjadi salah satu bidang yang diberikan tumpuan di Selangor," katanya.