‘Jangan cuma cari salah pemandu sahaja’

Pegawai JPJ Selangor menasihati seorang pemandu bas ekspres dalam operasi penyamaran, baru-baru ini.
A
A

KESALAHAN tidak sepatutnya diletakkan seratus peratus kepada bahu pemandu bas ekspres, sebaliknya semua pihak perlu memahami situasi sebenar dilalui mereka ketika memandu di lebuh raya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Saadan Man berkata, bukan sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi pihak berkuasa lain termasuk orang ramai perlu buka mata dengan situasi sebenar dihadapi oleh pemandu bas ekspres.

"Contohnya, di lebuh raya , kereta awam berada di lorong tengah dan bawa pula dalam lingkungan 60 hingga 70 km/j. Bila pemandu nak potong di lorong kanan, penguat kuasa akan saman. Ini pun kena ambil kira. Pemandu bas terikat dengan masa dan terpaksa memotong di lorong kanan juga.

"Bila saman bukan sedikit. Gaji pemandu juga kebanyakan belum naik walaupun tambang bas dinaikkan berkali-kali. Ini juga bakal menyebabkan pemandu tertekan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pemandu bas ekspres diminta supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk ke atas penumpang.

"Persatuan sendiri sentiasa menasihati pemandu untuk sentiasa mematuhi undang-undang. Walaupun mereka mendaftar sebagai ahli persatuan, tetapi kami tidak berkompromi jika ia berkaitan keselamatan penumpang.

"Kami sendiri tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku lagi terutama membabitkan bas ekspres," katanya.