Negara kekurangan pakar neuropsikiatri

Gambar hiasan
A
A

PETALING JAYA - Malaysia kekurangan pakar neuropsikiatri sedangkan jumlah pesakit yang memerlukan perkhidmatan itu semakin meningkat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ketika ini negara mempunyai kira-kira 300 pakar psikiatri yang berkhidmat dalam sektor awam namun hanya empat pakar dalam bidang neuropsikiatri.

“Selain itu, akan ada tiga doktor pelatih neuropsikiatri yang akan mendapat kelayakan dalam masa tiga tahun lagi.

“Kadar untuk kita menambahkan pakar neuropsikiatri adalah sangat perlahan dan untuk menangani kes adalah besar dan permintaan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program ‘Neuropsychiatry Masterclass 2019’ di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Heric Corray.

Neuropsikiatri adalah bidang subkepakaran psikiatri yang merupakan pertindihan antara psikiatri, neurologi dan perubatan am.

la adalah bidang psikiatri yang khusus untuk melakukan penilaian klinikal dan rawatan kepada pesakit-pesakit neurologi yang menunjukkan manifestasi kognitif (keupayaan mental), emosi dan perubahan tingkah laku.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata empat pakar neuropsikiatri itu masing-masing satu di Pulau Pinang, dan Johor serta dua di Kuala Lumpur.

Justeru itu, jelasnya ketika ini kerajaan sedang giat menambah tenaga pakar itu bagi memenuhi permintaan yang sangat mendesak.

Mengenai program itu, beliau berkata ia adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Unit Neuropsikiatri dan Neuromodulasi (NEURON) dan Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur sejak tahun 2015.

Jelasnya objektif program tersebut adalah untuk perkongsian ilmu, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam memberikan penilaian dan rawatan pesakit neuropsikiatri memandangkan disiplin ini belum mendapat pendedahan yang meluas di Malaysia.

Katanya ia berikutan kemahiran itu kurang ditekankan dalam program latihan kepakaran namun pesakit-pesakit sebegini kerap ditemui semasa tugas-tugas harian sebagai pakar.

Antara contoh masalah neuropsikiatri yang kerap ditemui adalah gejala emosi, kognitif, halusinasi dan delusi yang disebabkan oleh penyakit parkinson, masalah emosi yang disebabkan oleh penyakit epilepsi, demensia pada golongan muda dan perubahan tingkah laku disebabkan oleh kecederaan dan jangkitan otak.

Masalah demensia pada golongan muda dan masalah neurologi yang disebabkan oleh ketidaknormalan metabolisme tubuh kerap hadir dengan simptom-simptom kecelaruan mental namun ia kerap lewat dikesan dan dirawat.

“Jadi adalah penting pesakit-pesakit sebegini memerlukan pendekatan multidisiplin daripada bidang neuropsikiatri, psikologi, neurologi, neuroradiologi, neurosurgeri, genetik, perubatan rehabilitasi dan lain-lain untuk mendapat rawatan yang terbaik,” kata Dr Dzulkefly.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika merasmikan program itu, Dr Dzulkefly memberitahu perkhidmatan neuropsikiatri di HKL memerlukan perhatian khusus berikutan jumlah pesakit yang menerima rawatan kian meningkat sejak 2017 iaitu 499 pesakit.

Jelasnya, sehingga suku pertama tahun ini, seramai 363 pesakit telah mendapatkan rawatan itu dan dijangkakan sekurang-kurangnya 1,500 pesakit akan mendapatkan perkhidmatan neuropsikiatri HKL sehingga hujung tahun ini. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia