Malaysia masih kekurangan pakar O&G

Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia masih kekurangan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni yang menurutnya ketika ini hanya terdapat 667 orang pakar O&G di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Lukanisman berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan KKM dalam penghasilan pakar O&G bagi memenuhi standard nisbah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu 23.7 bagi setiap 100,000 wanita serta menutupi kelompongan dalam O&G di hospital KKM seluruh negara.

Beliau berkata, KKM sedang berusaha menyediakan 155 pakar O&G pada setiap tahun termasuk melalui pengambilan pelajar Sarjana O&G.

"Sasaran kita (KKM) adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 orang pakar O&G di fasiliti KKM menjelang 2030," katanya kepada media selepas majlis perasmian Kongres O&G KKM 2023 yang bermula hari ini hingga 21 Mei, di sini pada Jumaat.