'Hidu bau mayat di rumah adik'

Mohd Yusof menunjukkan pintu hadapan dipecahnya untuk masuk ke rumah berkenaan.
A
A

SEKINCHAN - [DIKEMASKINI] Gerak hati seorang abang menziarahi adiknya membawa penemuan mayat lelaki itu di sebuah rumah di Kampung Parit 11, Pasir Panjang di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Abd Razi Masdan, 63, ditemui meninggal dunia dalam keadaan duduk bersandar di sofa ruang tamu rumah.

Abang mangsa, Abd Latif Masdar, 70, berkata, dia bersama isterinya, Ainon Shaari, 52, serta seorang anak lelakinya berusia 11 tahun ke rumah terbabit kerana ingin menziarahi Abd Razi yang tinggal bersendirian.

Abd Latif berkata, sejurus menjejak kaki ke pekarangan rumah Abd Razi, dia sekeluarga terhidu bau busuk di sekeliling rumah.

"Saya lihat semua pintu rumah arwah (Abd Razi) berkunci dan memberi salam beberapa kali tapi tak berjawab.

"Dalam masa sama, kami terhidu seperti bau mayat sebelum menghubungi seorang adik yang tinggal berhampiran dan memaklumkan kepada penduduk kampung," katanya.

Adiknya, Mohd Yusof Masdar, 58, berkata, dia dihubungi kakak iparnya (Ainon) yang memberitahu terdapat bau mencurigakan di rumah peninggalan arwah bapa yang dihuni Abd Razi.

"Tanpa berlengah saya terus menuju ke rumah arwah dan dapati penduduk dah ramai berkumpul di hadapan rumah berkenaan," katanya.

Mohd Yusof berkata, dia bersama dengan beberapa penduduk terpaksa memecah pintu hadapan untuk masuk ke rumah berkenaan.

"Alangkah terkejutnya saya apabila menyaksikan sendiri mayat arwah Abd Razi kaku tidak bernyawa di atas sofa menghadap televisyen yang masih terbuka.

"Saya seolah-olah hampir pengsan sebaik melihat keadaan mayat arwah," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, Abd Latif dan keluarga yang datang dari Setapak Kuala Lumpur singgah ke gerainya di Parit 11.

"Abang (Abd Latif ) beritahu dia nak ke rumah Abd Razi dan tak menyangka arwah dah meninggal dunia dalam rumah," katanya.

Menurut Mohd Yusof, arwah abangnya yang hidup membujang dipercayai meninggal dunia sebelum solat Jumaat.

"Rakan saya beritahu, arwah sempat bersarapan di kedai pada pagi Jumaat, namun kelibatnya tak kelihatan sejak beberapa hari sebelum mayatnya ditemui semalam," katanya.

Mohd Yusof berkata, arwah abangnya itu disifatkan sebagai insan penyayang dan sering melemparkan senyuman selain kerap hadir ke masjid walaupun tidak berapa sihat.

"Arwah pernah diserang strok setahun lalu dan hanya pulih sejak tiga bulan kebelakangan ini," katanya.

Menurutnya, jenazah Mohd Razi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, jam 10.30 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan.

Chee Khoon berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.