Kes Wan Ji dan bantahan Akta Hasutan

A
A
A

BARU-baru ini, negara dikejutkan dengan berita bahawa Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah menolak rayuan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Husin terhadap sabitan dan hukumannya di bawah Akta Hasutan.

Mahkamah Tinggi telah meminda hukuman terhadap Wan Ji kepada satu tahun penjara selepas pihak pendakwa raya membuat rayuan silang terhadap hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen.

Ramai pihak, termasuk penulis sendiri, telah menggesa pendakwa raya memberi penjelasan mengapa pihaknya membuat rayuan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji, bertentangan dengan dasar kerajaan Persekutuan mengenai Akta Hasutan.

Hukuman sembilan bulan penjara yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana adalah terlalu berat dan tidak mengikut trend hukuman berkenaan dengan sabitan bawah Akta Hasutan iaitu menjurus kepada hukuman denda dan bukannya penjara.

Walaupun Akta Hasutan masih belum dimansuhkan dan masih berkuat kuasa, namun kerajaan Persekutuan telah berkali-kali menzahirkan niat untuk memansuhkan akta tersebut.

Malahan, pendakwa raya sendiri telah menarik balik beberapa pertuduhan di bawah akta tersebut sebelum ini selari dengan dasar kerajaan Persekutuan mengenai akta tersebut.

Peguam Negara (yang juga pendakwa raya) kemudiannya menjelaskan bahawa beliau tidak menyedari rayuan silang dalam kes Wan Ji kerana rayuan tersebut telah dibuat semasa Peguam Negara yang sebelumnya.

Kemudian, atas permohonan Wan Ji, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman membenarkan permohonan perlaksanaan hukuman penjaranya ditangguhkan sementara rayuannya didengar dan dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Artikel Berkaitan:

Wan Ji akhirnya dibebaskan sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Penangguhan

Permohonan penangguhan hukuman apabila terdapatnya rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi adalah sesuatu biasa dalam kes-kes jenayah.

Pada kebiasaan, asas permohonan yang dibuat adalah bahawa sekiranya tertuduh mula menjalani hukuman, maka rayuannya akan menjadi sia-sia.

Ada yang berkata bahawa kritikan terhadap pemenjaraan Wan Ji adalah sokongan terhadap apa dikatakan oleh Wan Ji. Menurut pertuduhan, Wan Ji dikatakan telah menghina institusi diraja.

Bantahan terhadap Akta Hasutan bukan bermakna kita menyokong kenyataan atau hinaan yang dikeluarkan. Bantahan adalah terhadap akta itu sendiri, yang memang bermasalah.

Takrifan tentang apa itu ‘kecenderungan menghasut’ dalam akta adalah begitu luas.

Apa-apa jenis kritikan terhadap kerajaan boleh dikatakan sebagai menghasut, kerana sudah tentu apabila terdapat kritikan, ia mempunyai kecenderungan untuk melahirkan perasaan tidak suka. Pihak pendakwaan juga tidak perlu membuktikan bahawa apa yang dilakukan atau dituturkan sememangnya menghasut, asalkan terdapat kecenderungan.

Penjenayahan tentangan, tuturan dan kritikan ini tidak mendukung semangat demokrasi yang kita junjung, apatah lagi apabila definisi yang diberikan adalah begitu luas. Bukan bermakna kita sokong penghinaan terhadap institusi beraja.

Sebab itu, akta zalim dan lapuk itu wajar dimansuhkan dengan segera.

Walaupun ia tidak akan memberi kesan langsung kepada kes Wan Ji kerana pendakwaan dan sabitannya adalah semasa undang-undang tersebut masih berkuat kuasa tetapi langkah itu dapat memastikan tiada lagi rakyat Malaysia seperti Wan Ji dijenayahkan kerana Akta Hasutan.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur