Polis beri penjelasan video tular

Tangkap layar video yang tular mengatakan anggota polis berkenaan memukul remaja tersebut.
A
A

IPOH - Polis Ipoh tampil memberikan penjelasan berkaitan video tular membabitkan anggota polis trafik yang dikatakan memukul seorang remaja petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6.35 petang ketika menjalankan Op Bersepadu Samseng Jalanan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Persiasan Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini.

Katanya, dua anggota trafik diarahkan menghala ke Persiaran Brash dan setibanya di lokasi mereka nyalakan lampu beacon serta membunyikan siren supaya kenderaan yang datang daripada arah hadapan berhenti.

"Setelah beberapa kenderaan berhenti, tiba-tiba anggota trafik berkenaan nampak dua motosikal dari arah bertentangan dengan laju dan menunggang secara zig-zag serta berbahaya telah menuju ke arah mereka sebelum melanggar motosikal anggota tersebut.

"Akibat daripada pelanggaran itu, seorang anggota trafik terjatuh daripada motosikal. Kemudian anggota berkenaan membuat tangkapan ke atas kedua-dua penunggang motosikal terbabit kerana mereka cuba melarikan diri dan bertindak agresif," katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Mohd Ali berkata, dua remaja lelaki terbabit berumur 17 tahun masing-masing beralamat di Taman Meru 2B dan Taman Meru 2C.

Menurutnya, kedua-dua remaja itu disaman atas kesalahan lalu lintas iaitu mengubahsuai kenderaan, tiada lesen memandu, dan memotong secara bahaya.

"Ujian saringan awal air kencing yang dikendalikan oleh pihak AADK Perak terhadap kedua-dua penunggang motosikal tersebut adalah negatif.

"Kedua-dua penunggang dibenarkan balik setelah tindakan diambil," katanya.

Video tular yang berdurasi kurang 30 saat itu menunjukkan seorang anggota polis menahan seorang remaja lelaki sambil dikerumuni orang ramai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia