Anak dara Kedah dipelawa sertai pertandingan Musang Berjanggut

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah mempelawa gadis di negeri ini untuk menyertai pertandingan Musang Berjanggut sempena Temasya 'Oghang' Kedah di Dataran Sungai Korok di Jitra pada 25 hingga 27 Julai ini.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata, pertandingan tersebut hanya terbuka untuk anak dara kerana ia diadaptasi daripada filem ‘Musang Berjanggut’ lakonan mantap seniman Tan Sri P Ramlee dan seniwati Saadiah.

“Dalam filem itu, P Ramlee yang melakonkan watak putera raja mengembara mencari pasangan hidup dengan membawa karung berisi beras dan pelbagai rempah ratus sebagai ujian kepada setiap anak dara yang ditemuinya dalam usaha mencari calon isteri.

“Konsep pertandingan ini sama, peserta perlu mengasingkan barang-barang di dalam karung berkenaan dalam tempoh 30 minit dan pemenang akan dikira daripada aspek kesempurnaan kerja, ketelitian, kebersihan hasil dan penampilan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selain berhibur, pertandingan itu turut memberi pengajaran bahawa kesabaran, ketelitian, ketahanan minda serta keupayaan berfikir di luar kotak akan memberi kejayaan kepada seseorang itu.

"Selain itu, pelbagai pertandingan menarik diatur sempena temasya berkenaan termasuklah sukan rakyat seperti sepak raga bulat, Badang (ujian kekuatan), gusti lengan kampung, memancing, nyanyian kerohanian dan membuat kolaj serta mewarna untuk kanak-kanak.

Untuk keterangan lanjut mengenai program terbesar dalam kalendar JKKN itu, orang ramai boleh hubungi talian 04-7315930. - Bernama

Artikel Berkaitan: