Teknologi penentu kualiti kerja

A
A
A

TEKNOLOGI canggih memudahkan proses sesuatu pembinaan, pembuatan, pengilangan atau inovasi berkualiti. Teknologi kini dianggap penentu kejayaan sesebuah organisasi untuk berdaya saing dan meneruskan survival.

Seorang editor memberitahu penulis dalam kehidupan jurnalis berideologi muckraker, soal keberadaan ialah satu perkara yang sering menjadi batas kompromi. Seseorang jurnalis boleh berada dan bekerja di luar pejabat, tetapi masih boleh menghasilkan kualiti kerja terbaik.

Rakan editor itu turut mengemelkan sebuah tulisan jurnalis muckraker terkenal, Felicity Hannah bertajuk The firm with 900 staff and no office. Syarikat multi nasional ini mempunyai 930 pekerja dan sentiasa berjaya menyelamatkan perbelanjaan melalui penjimatan.

Penulis positif tentang hal ini kerana teknologi kejuruteraan, pengilangan, pembuatan dan pengkomputeran boleh berperanan dalam menjimatkan perbelanjaan sesebuah organisasi termasuk universiti.

Penulis teringat pengalaman bekerja di 3CX, sebuah syarikat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di San Jose, California, Amerika Syarikat. Kebiasaannya, tiada seorang pun staf teknikal berada di pejabat sehingga jam 3 petang.

Pengalaman ini tercetus pada hari pertama penulis ditugaskan mengurus syarikat pelaburan tersebut untuk membangunkan streaming technology sebagai pemangkin tulang belakang perisian YouTube. Ketika sesi penerangan bermula, semua staf teknikal hadir tepat jam 3 petang untuk membentang skop tugas dan hasil kerja mereka.

Rupa-rupanya, 3CX lebih mementingkan `hasil kerja’ tepat tempoh ditetapkan daripada menitikberatkan soal keberadaan staf.Pengalaman

Mengurus syarikat yang membangunkan teknologi YouTube kira-kira 22 tahun dulu ialah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan banyak mempengaruhi gaya serta prinsip kerja penulis sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

ALLAH telah mengajak manusia berfikir menerusi al-Quran Surah At-Taubah [09:105] maksudnya, “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka ALLAH dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Menurut artikel itu, Cate Huston yang mengetuai kumpulan pakar dalam syarikat multinasional Automattic, menyatakan mereka tidak perlukan pejabat, sebagaimana dilapor BBC News pada 5 Julai lalu. Kini, trend syarikat mengurangkan saiz pejabat dan kos operasi kian meningkat.

Pekerja kini boleh menyelesaikan tugasan di rumah. Huston menyatakan bakat, kreativiti dan kualiti hasil kerja jauh lebih diutamakan.

Trend bekerja dengan menggunakan teknologi komunikasi dan media, selain mengakses bakat dan menyudahkan kerja mengikut tempoh yang ditetapkan tanpa perlu hadir di pejabat, kini jelas sedang menjadi satu kegilaan global.

Laporan tersebut turut menyatakan kebanyakan syarikat teknologi tinggi yang sedang berkembang maju, memilih untuk tidak mempunyai pejabat operasi pusat. Dengan cara ini, mereka boleh menjimatkan kos secara keseluruhan sebanyak 40 peratus.

Apa yang penting ialah sambungan internet yang cepat bagi menghantar pesanan ringkas dan aplikasi video.

Sekiranya pemantauan secara online dapat dilaksanakan dengan cekap menjurus kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), syarikat tersebut tidak perlu pejabat sepenuhnya. Sebaliknya, mereka mengupah staf di pelbagai lokasi dan bekerja di rumah atau ruang kerja yang dikongsi.

ALLAH telah menjelaskan keperluan hidup seseorang itu bergantung kepada kemahuan dan usahanya bagi mendapatkan sesuatu yang sememangnya datangnya daripada ALLAH sebagaimana dijelaskan dalam Surah Al-'Ankabuut [29:17] maksudnya, “Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain ALLAH itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi ALLAH, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya lah kamu akan dikembalikan.”

Justeru, soal `keberadaan’ di pejabat tidak semestinya menunjukkan `hasil kerja’, sebaliknya `hasil kerja yang berkualiti’ datang daripada jiwa suci yang takutkan ALLAH.

Rasulullah SAW menurut Muslim dan Ibnu Majah menyatakan “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada wajah kamu dan harta kamu, tetapi ALLAH melihat kepada hati kamu dan amalan kamu.”

Jelas sekali, syarikat besar di Malaysia harus mula menggunakan teknologi untuk meningkat kualiti kerja, selain boleh mengawal dan memantau hasil kerja tanpa perlu mengeluh soal keberadaan seseorang staf.