Kerajaan digesa permudah gaji pekerja asing

Saifuddin mengadakan lawatan di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melihat cara terbaik untuk memudahkan hasrat peniaga di Pasar Borong Pandan, di sini menggajikan pekerja asing.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan membawa hasrat tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, ada beberapa peniaga merasakan bahawa kerajaan perlu memberikan perhatian untuk mempermudahkan proses mereka mengambil pekerja asing untuk membantu di lot perniagaan terutama masa puncak.

“Rungutan mereka perlukan pekerja dan apabila mereka mohon, mereka rasa ada kepayahan lagi.

"Jadi mereka minta supaya saya membantu menyampaikan untuk mempermudahkan proses ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Borong Pandan di sini hari ini.

Saifuddin beramah mesra dan mendapatkan maklum balas daripada peniaga Pasar Borong Pandan.
Saifuddin beramah mesra dan mendapatkan maklum balas daripada peniaga Pasar Borong Pandan.

Mengulas lanjut mengenai lawatan mengejut tersebut, Saifuddin berkata, beliau hadir untuk meninjau sendiri melihat suasana perniagaan di Pasar Borong Pandan terutama di waktu puncak.

“Kita pilih waktu ini kerana ini akan memberi peluang untuk saya mendapat maklumat langsung daripada peniaga. Saya juga berpeluang bertanya kepada pengunjung.

“Tujuan ini untuk memberikan saya maklum balas secara langsung apa yang berlaku di bawah. Saya mengambil peluang untuk mengingatkan peniaga tentang perlunya mereka mematuhi undang-undang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sehingga semalam, KPDNHEP Johor secara keseluruhannya telah menghasilkan 441 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, kesemua kes itu melibatkan nilai rampasan sebanyak RM22,000 dan jumlah kompaun RM57,000 melibatkan 394 kes penandaan tanda harga dan tujuh kes kenaikan harga tidak munasabah (pencatutan).

“Bagi Akta Timbang dan Sukat 1972, kes yang telah kita catat adalah sebanyak 216 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM30,000 dan kompaun sebanyak RM26,000.

“Dengan angka-angka kita perolehi ini, masih ada lagi kecuaian peniaga tidak meletak tanda harga, tidak patuh kepada timbang sukat dan juga ada lagi kes yang berlaku amalan pengambilan untung,” katanya.