Saksi tak terima surat Najib pulangkan AS$620 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-50 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak menerima apa-apa surat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan hasratnya untuk memulangkan semula wang AS$620 juta yang didepositkan ke dalam akaunnya pada 2013.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Cheah Tek Kuang, 72, berkata sebenarnya, surat itu tidak pernah dibawa ke perhatiannya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Pada 2013, anda dimaklumkan bahawa pemegang akaun (Najib) ingin memulangkan wang dari akaun 694 kepada pengirimnya. Dalam surat oleh Najib, yang salinannya dihantar kepada anda, dia menyebut bahawa AS$620 juta akan dikirim secara sekali pemindahan dari akaun Ambank, yang merupakan derma yang tidak digunakan, untuk dipulangkan kepada benefisiari yang akan disenaraikan kemudian.

Cheah: Sebenarnya, saya tidak menerima surat tersebut.

"Saya tahu Najib ingin memulangkan derma berjumlah AS$620 juta itu kepada pengirimnya pada 2013... Saya tahu perkara ini melalui Pengurus Hubungan Ambank Joanna Yu yang menghubungi saya untuk membantu mendapatkan kelulusan segera dari bank pusat," katanya.

Harvinderjit: Jadi surat bertarikh Mac 2013 diberikan kepada anda oleh Joanna sebagai dokumen sokongan dalam akaun 694?

Cheah: Saya tidak buat apa-apa. Kerana pada masa itu, saya tidak lagi memegang jawatan eksekutif... jadi, dia mungkin telah bertemu orang lain.

Artikel Berkaitan:

Harvinderjit: Saya beranggapan bahawa anda telah membaca surat itu? Cheah menjawab "Saya tidak bersetuju."

Harvinderjit: Berhubung dengan perbualan antara Joanna dan pemegang akaun, andaian anda ialah dia telah berhubung dengan Najib secara langsung? Cheah menjawab "ya."

Harvinderjit: Saya membuat anggapan kepada anda bahawa dia (Joanna) telah bercakap dengan Jho Low, bukan Najib? Cheah menjawab "Saya tidak tahu."

Harvinderjit: Pada 2011 dan 2012, sejumlah wang yang banyak masuk ke dalam akaun dan Joanna datang bertemu anda dan menjustifikasi bahawa wang yang diterima adalah hadiah dari Arab Saudi?

Cheah menjawab "ya."

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi, saksi itu berkata beliau berada bersama-sama Najib ketika pemimpin itu menandatangani ketiga-tiga borang pembukaan akaun di rumahnya di Jalan Langgak Duta.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama