Norhizam digesa mohon maaf isu hina ADUN Serkam

Sebahagian penduduk dan ahli Umno Serkam yang mengadakan demo bantahan terhadap Exco tersebut di hadapan pintu masuk Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk dan UMNO Serkam menggesa Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee segera membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Mereka menyifatkan tindakan ADUN Pengkalan Batu yang menghina fizikal Zaidi Attan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kelmarin amat keterlaluan dan biadab.

Penduduk, Rizal Ramli berkata, pihaknya begitu kecewa dengan tindakan kurang sopan Exco kerajaan negeri yang sering mencetuskan kontroversi.

Menurutnya, sebagai wakil kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata biadab dengan menghina orang lain lebih-lebih lagi melibatkan ciptaan ALLAH SWT.

"Kita kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku. Sepatutnya Exco itu jangan bertindak macam orang tidak sekolah melainkan beliau memang tidak pernah bersekolah," katanya selepas mengadakan demo bantahan terhadap Exco tersebut di hadapan pintu masuk Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr Akmal Saleh telah menghantar memorandum bantahan terhadap Norhizam kepada Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar.

Pada sesi soal jawab Sidang DUN Selasa lalu, berlaku pertikaman lidah antara Norhizam dengan pembangkang apabila beliau mencetuskan isu ‘UMNO mati’.

Zaidi yang kemudian bangun untuk membacakan peraturan Dewan, ditegur Norhizam dengan berkata beliau hanya mendengar suara namun tidak nampak orang yang bercakap.

"Saya dengar suara sahaja, orang saya tak nampak. Kalau nak baca buku (Peraturan Dewan) panjat kerusilah baru saya nampak."

Kira-kira 40 orang menyertai bantahan itu di hadapan Seri Negeri bermula jam11 pagi dengan membawa sepanduk sebelum demo berakhir sejam kemudian.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia