Kawasan Selat Melaka selamat: Panglima ATM

Abdul Hamid (kanan) disambut Zulkifli dalam lawatan rasmi pertamanya di Markas Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Abdul Hamid (kanan) disambut Zulkifli dalam lawatan rasmi pertamanya di Markas Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan tiada sebarang ancaman keselamatan di Selat Melaka.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, kawasan perairan Selat Melaka kekal selamat sebagai laluan kapal dagang antarabangsa.

“Mana-mana negara boleh meningkatkan tahap keselamatan mereka. Setahu saya tiada petunjuk kawasan perairan kita tidak selamat.

“Itu kenyataan saya, kawasan Selat Melaka kita selamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang melakukan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Zulkifli (empat, kiri) menerima kunjungan Abdul Hamid (tengah) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Zulkifli (empat, kiri) menerima kunjungan Abdul Hamid (tengah) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Manakala mengiringi Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Baru-baru ini, media tempatan dan antarabangsa melaporkan China meningkatkan tahap keselamatan untuk kapal-kapalnya menuju Selat Melaka.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, mengulas tentang perbincangan antara kerjasama beliau dengan Abdul Hamid, beliau berkata, ATM berbincang dan sedia membenarkan pegawai dan anggota polis mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tentera.

“Isu ini perlu diberi kepentingan. Ia masih di peringkat perbincangan awal dan perlu dijalankan secara teliti.

"Sekiranya ada peruntukan khas kepada polis selain isu lain yang berbangkit, semestinya perkhidmatan ini dapat disediakan," katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, kedua-dua agensi keselamatan itu akan memperkemaskan isu keselamatan di sempadan mengenai peranan polis dan ATM termasuklah di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).