Pembangunan Kampung Baru: Saya tunggu taklimat PKB - Rina Harun

Penerima sumbangan mewakili 33 sekolah di bawah Parlimen Titiwangsa bersama Rina Harun selepas majlis penyampaian sumbangan di SMK Puteri Wilayah di Kuala Lumpur di sini hari ini.
Penerima sumbangan mewakili 33 sekolah di bawah Parlimen Titiwangsa bersama Rina Harun selepas majlis penyampaian sumbangan di SMK Puteri Wilayah di Kuala Lumpur di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan perancangan dan pembangunan Kampung Baru telah dikenal pasti dan pembentangan berhubung perkara itu akan dibuat minggu depan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sedang menunggu taklimat daripada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

“Dah ada perancangan yang dah dibuat. Saya masih menunggu taklimat daripada PKB.

“Sepatutnya taklimat dibuat dua minggu lalu tetapi ditunda ke minggu hadapan,” katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sekolah-sekolah Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Puteri Wilayah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung perkembangan rancangan pembangunan semula kawasan segi tiga emas itu.

Terdahulu, sebanyak 33 buah sekolah menerima sumbangan wang tunai daripada Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa sebagai bantuan kegunaan keperluan sekolah.

Penerima terdiri daripada sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan (C) di bawah Parlimen Titiwangsa.

Artikel Berkaitan:

Rina menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil sekolah Parlimen Titiwangsa.
Rina menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil sekolah Parlimen Titiwangsa.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, selain sumbangan untuk kegunaan sekolah, pihaknya juga memperuntukkan bantuan bagi membaikpulih infrastruktur.

“Banyak sekolah-sekolah yang telah berusia memerlukan perhatian daripada segi bantuan infrastruktur dan bagi pihak pejabat Ahli Parlimen kita memang memberi perhatian berhubung perkara ini,”katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mengulangi pendirian akan mempertahankan jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada pemilihan akan datang.

“Banyak lagi agenda yang saya mahu laksanakan. Sudah tentu saya akan pertahankan,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa Sabtu ini berhubung pindaan perlembagaan parti.

Pindaan yang bakal dibuat nanti membolehkan semua ahli terlibat dalam pemilihan dan semua jawatan termasuk majlis tertinggi juga terbuka untuk dipertandingkan.