Pemimpin dunia kongsi kesedihan Indonesia

pem
pem
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA.Beberapa pemimpin dunia menzahirkan ucapan simpati dan dukacita kepada Indonesia susulan tsunami yang melanda beberapa kawasan di sekitar Selat Sunda pada malam Sabtu lalu.

Antaranya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyatakan sokongan kepada Jakarta menerusi Twitter hari ini.

“Bencana tsunami menyebabkan kemusnahan yang tidak boleh dijangka berlaku di Indonesia. Lebih 200 orang maut dan ribuan lagi cedera atau hilang. Kami berdoa keadaan akan kembali pulih. Amerika sentiasa bersama anda,” tulis Trump.

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut berkongsi kesedihan melalui Twitter dan berkata: “Amat sedih bila mendengar berita mengenai ramai yang terkorban dan kemusnahan berlaku di Indonesia akibat tsunami susulan letusan gunung berapi.

“Ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa mereka yang cedera segera pulih. India sedia memberikan bantuan kepada jiran dan sahabatnya”.

Agensi berita Anadolu pula melaporkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menghantar ucapan takziah kepada Indonesia.

“Saya bagi pihak rakyat Turki, ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua rakyat Indonesia,” kata Erdogan di Istanbul ketika menghadiri Perhimpunan Agung Kewangan 2018 anjuran Lembaga Perhubungan Ekonomi Luar Turki (DEIK).

Tidak ketinggalan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang melahirkan rasa simpati terhadap semua yang terjejas ekoran bencana itu.

Artikel Berkaitan:

“Rusia turut berkongsi kesedihan dengan rakyat Indonesia. Sila sampaikan rasa simpati dan sokongan saya kepada keluarga mangsa dan saya mendoakan mereka yang cedera supaya segera sembuh,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) melaporkan angka kematian sudah mencecah 281 orang, manakala mangsa yang cedera dan hilang, masing-masing meningkat kepada 1,016 orang dan 57 orang.- Agensi